Kastam rampas barang seludup termasuk dadah, ketum dan mercun bernilai RM3.3 juta

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas pelbagai barangan yang cuba diseludup termasuk dadah jenis syabu seberat 40.787 kilogram menerusi operasi berasingan di Sandakan, Tawau, Lahad Datu dan Semporna, sepanjang Mac lalu.

Antara barangan lain yang dirampas iaitu Ketum, mercun dan bunga api, rokok serta kenderaan dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan sebanyak RM3,344,312.35.

Memangku Tugas-Tugas (MTT), Penolong Ketua Pengarah JKDM Sabah, Saidin Jalaluddin berkata, kejayaan ini hasil maklumat yang disalurkan pihak awam selain komitmen berterusan pihak JKDM Zon Sabah dalam membanteras aktiviti penyeludupan.

Katanya, kes pertama membabitkan rampasan dadah jenis Methamphetamine di Semporna pada 11 Mac lalu.

“Pasukan dari Bahagian Penguatkuasaan JKDM Semporna menyerbu Terminal Bas Semporna – Kota Kinabalu sebelum menemukan dua kotak mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan mendapati kotak terbabit berisi dadah jenis Methamphetamine seberat 40.787 kilogram (kg) dengan nilai RM1,305,184,” katanya dalam sidang media di Menara Kastam Sabah, di sini, hari ini.

Menurutnya, penyeludup dikesan melakukan modus operandi dengan menyeludup dadah menggunakan terminal bas sebagai lokasi persembunyian bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Siasatan masih diterus bagi mengenal pasti sindiket dadah yang menyeludup dadah berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata kes kedua membabitkan rampasan ketum di Tawau hasil rampasan sembilan kotak berisi 125 kilogram serbuk hijau dipercayai ketum dirampas di Terminal Bas Tawau pada 6 Mac.

Katanya, suspek menggunakan bas persendirian bagi menyembunyikan bahan terlarang ini, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

“Kes ketiga adalah rampasan bunga api dan mercun masing-masing 18 Mac di Lahad Datu membabitkan mercun bernilai RM1,130,640 dan duti RM737,239.00 serta 11 Mac di Sandakan dengan 6.84 kilogram mercun bernilai RM943.00.

“Ssemua barangan tidak memiliki permit import yang sah dan disiasat mengikur Akta Bahan Letupan 1957 dan Akta Kastam 1967,” katanya.

Jelas beliau lagi, bagi kes keempat membabitkan sitaan rokok tak bercukai dalam dua kenderaan berasingan pada pada 10 dan 12 Mac membabitkan nilai sitaan keseluruhan mencecah lebih RM24,000.

“Kes terakhir pada 13 Mac membabitkan sebuah kereta jenis sedan bernilai RM15,000 dengan duti terbabit RM12,875 disita kerana melanggar tempoh kebenaran berada di tanah besar.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Sementara itu Saidin berkata pihaknya berharap supaya orang awam terus bekerjasama menyalurkan sebarang maklumat aktiviti penyeludupan melalui Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau mana-mana pejabat kastam terdekat.

“Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya. – Info X