KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menyatakan keprihatinannya terhadap sebarang aduan mengenai perkhidmatan di semua fasiliti kesihatan di negeri ini.
Pengarahnya, Dr Maria Suleiman, berkata perkara itu sejajar usaha untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada orang awam yang mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan.
Katanya, ketika ini sistem triage atau penilaian tahap kecemasan atau keterukan keadaan pesakit diamalkan di semua hospital seliaan Kementerian Kesihatan (KKM).
Sistem itu katanya bagi memastikan pesakit dengan keperluan rawatan segera diberikan keutamaan dan perhatian sewajarnya.
“Sebagai langkah penambahbaikan, JKNS akan terus memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan, meningkatkan kecekapan triage dan kesedaran masyarakat mengenai prosedur rawatan.
“JKNS menyeru orang ramai mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi dan tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan.
“Sebarang aduan berkaitan perkhidmatan kesihatan boleh disalurkan melalui saluran rasmi KKM bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Kenyataan itu sebagai maklum balas terhadap sebuah video tular mengenai perkhidmatan rawatan di Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Kota Marudu pada 6 Februari lalu.
Video itu mendakwa seorang pesakit warga emas dalam keadaan tenat tidak menerima rawatan sewajarnya di Hospital Kota Marudu.
Mengulas mengenai dakwaan itu, Dr Maria berkata siasatan dalaman JKNS mengesahkan pesakit terbabit hadir di Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Kota Marudu antara jam 9 hingga 10 pagi, dengan diiringi ahli keluarga.
“Setelah melalui proses pemeriksaan dan penilaian klinikal, pesakit tersebut dikategorikan sebagai Zon Hijau (tidak kritikal) dan disaran untuk mendapatkan rawatan di Jabatan Pesakit Luar (JPL).
“Keluarga pesakit telah diberikan penjelasan mengenai prosedur rawatan di JPL termasuk proses pendaftaran dan penggiliran sebelum diberikan rawatan lanjut.
“Sehubungan itu, mereka memilih untuk tidak meneruskan pendaftaran di JPL dan mendapatkan rawatan di fasiliti swasta,” katanya.
Bagaimanapun, katanya selepas itu Hospital Kota Marudu menyedari satu video tular mengenai pesakit terbabit pada kira-kira jam 11 pagi hari yang sama, sebelum menghubungi keluarga pesakit.
Jelasnya, Pengarah Hospital turut berhubung dengan keluarga pesakit terbabit dan menzahirkan keprihatinan serta memberi jaminan pesakit boleh hadir semula sekiranya masih memerlukan rawatan.
“Keluarga pesakit memaklumkan bahawa individu yang merakam dan menularkan video tersebut bukan dalam kalangan mereka dan tidak dikenali.
“Susulan penjelasan yang diberikan, pentadbir laman media sosial yang menyiarkan video tersebut telah menurunkan video tersebut atas permintaan keluarga pesakit terbabit,” katanya. – Info X
More Stories
KOKINAPRO: New Gold Savings Store Opens
Perdana Menteri puji ketenangan Hajiji hadapi hiruk-pikuk politik
Lelaki bawa rokok seludup ditahan polis