JKR diarah selesaikan segera isu ‘jalan macam di bulan’

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, hari ini mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) menyelesaikan isu ‘jalan macam di bulan’ atau jalan rosak yang berlaku di seluruh negeri.

Katanya, tindakan proaktif perlu diambil, termasuk mengarahkan syarikat konsesi untuk membaiki segera kerosakan jalan raya yang berlaku.

“Kita mesti sentiasa memikirkan mengenai keperluan rakyat. Tanpa tindakan, kerajaan dan JKR akan terus menerima kecaman daripada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika lawatan kerja di Kementerian Kerja Raya negeri di Bangunan JKR Sembulan, di sini, hari ini.

Ketua Menteri menekankan pentingnya kerja pemantauan di semua laluan seluruh negeri, sama ada jalan negeri atau persekutuan.

“Beri perhatian terhadap keluhan rakyat, ada banyak aduan biasa. Jadi, saya mahu JKR negeri tidak menunggu (aduan), tapi cari penyelesaian segera terhadap masalah itu,” katanya.

Selain itu, Hajiji turut menyentuh mengenai langkah menyelesaikan isu air tidak berhasil (NRW) yang masih banyak berlaku di negeri ini.

Katanya, kerajaan negeri akan mendapatkan penyiasat bebas bagi mencari punca NRW yang ketika ini berada pada paras 60 peratus, kebanyakannya disebabkan kes curi air.

Mengenai kekurangan tenaga kerja yang dialami Kementerian Kerja Raya negeri, Hajiji mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong untuk meneliti perkara itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya negeri, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata kementeriannya akan terus mengambil usaha bagi mengatasi isu membabitkan kementeriannya menerusi pelbagai inisiatif. – Info X