Kontrak Kim Swee dilanjut hingga 30 April 2025

KOTA KINABALU: Kontrak pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee yang tamat pada 30 November ini dilanjutkan lima bulan lagi hingga penghujung musim 2024 / 2025 pada 30 April depan.

Lanjutan kontrak beliau dipersetujui sebulat suara pada mesyuarat khas Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) bersama pengurusan Sabah FC, hari ini.

Perkara itu diumumkan Timbalan Ketua Menteri, yang juga Presiden SAFA, Datuk Ir Shahelmey Yahya menerusi satu kenyataan, malam ini.

Shahelmey berkata, keputusan itu diambil berdasarkan prestasi baik yang ditunjukkan pasukan Sabah FC ketika ini di bawah bimbingan Kim Swee.

Katanya, keputusan itu membolehkan Kim Swee meneruskan momentum kemenangan dan meningkatkan lagi prestasi terbaik pasukan Sabah, seterusnya memperbaiki kedudukan di carta liga.

“Ini sebagai persediaan agar pemain lebih bersemangat untuk menghadapi kempen Piala Malaysia yang dijangka bermula akhir bulan ini,” katanya.

Shahelmey turut menyatakan harapan pihak pengurusan SAFA agar lebih ramai penyokong hadir menyaksikan perlawanan di Stadium Likas sebagai sokongan untuk menambah semangat dan keyakinan kepada skuad Sang Badak.

“Ini akan membantu moral pemain agar tampil dengan prestasi terbaik dalam baki perlawanan Liga Super dan Piala Malaysia yang bakal diharungi tidak lama lagi,” katanya. – Info X