KOTA KINABALU: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini memberi penjelasan berhubung isu tular membabitkan warga Pakistan yang didakwa mendapat kad pengenalan bertaraf warga negara.
Menerusi satu kenyataan, JPN mengesahkan menerima aduan mengenai isu yang tular itu selepas penularan yang sama pada 2019.
Ia berkaitan dakwaan kononnya beberapa warga Pakistan memperoleh kad pengenalan biru dan mengatakan ‘Pejabat JPN Sabah sentiasa dipenuhi oleh Pakistan Buat Permohonan IC’.
Dakwaan itu turut disertakan dengan beberapa gambar kad pengenalan yang didakwa berkaitan.
Menerusi kenyataan itu, JPN menjelaskan bahawa isu berkenaan sudah diambil tindakan yang mana satu daripada kad pengenalan didakwa diperolehi warga Pakistan dalam maklumat tular itu disahkan menyalahi undang-undang dan dirampas.
“Isu ini telah diambil tindakan di mana bagi pemegang Kad Pengenalan Mohd Izaz Bin Abit, pihak Timbalan Pendakwaraya telah mengarahkan tindakan undang-undang diambil kerana mendapati individu berkenaan menggunakan sijil kelahiran milik orang lain untuk mendapatkan kad pengenalan.
“Kad pengenalan berkenaan juga telah dirampas selepas pengakuan diperoleh daripada individu dan penganjur permohonan tersebut,” kata kenyataan itu.
Katanya, JPN turut menyemak kesahihan nombor kad pengenalan yang ditularkan dan mendapati beberapa individu adalah warga negara Malaysia melalui kuat kuasa undang-undang di bawah Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan.
Mereka ialah Abd Rauf Bin Hamzah berstatus warga negara secara kuat kuasa undang-undang di bawah Perkara 14(1)(b) dan Mohd Abzah Ulamai Dar berstatus warga negara secara kuat kuasa undang-undang di bawah Perkara 14(1)(a).
Selain itu, Said Bashar Bin Shah Zadar berstatus warga negara secara kuat kuasa undang-undang di bawah Perkara 14(1)(b) dengan pengesahan bahawa bapanya adalah warga negara Malaysia sejak 6 Mac 1958.
JPN menegaskan, dalam mempertimbangkan permohonan kewarganegaraan Malaysia, pembuktian kelayakan untuk dianugerahkan kewarganegaraan adalah di bawah tanggungjawab setiap pemohon.
Katanya, proses pertimbangan adalah tertakluk kepada syarat-syarat di bawah Bahagian III, Perlembagaan Persekutuan, Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964 [L.N.82/1964] serta perundangan berkaitan yang berkuatkuasa dalam isu pendaftaran perkahwinan, pengangkatan, kesahtarafan anak dan peraturan imigresen.
“Jabatan ini ingin menegaskan syarat-syarat ini hanya melayakkan permohonan dikemukakan tetapi tidak menjamin bahawa permohonan kewarganegaraan tersebut akan diluluskan kerana sebagai sebuah negara yang berdaulat, Malaysia tidak akan memberikan kewarganegaraan secara sewenang-wenangnya atau sebarang keistimewaan tertentu,” katanya. – Info X

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad