JTU Sita Tiga Jengkaut, Dua Lori Disyaki Digunakan Curi Pasir Di Kuala Penyu

KUALA PENYU, SABAH – Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) telah menyita tiga jengkaut yang disyaki digunakan untuk mencuri pasir di Jalan Bandau sini pada Isnin lalu (25 Mac).

Pengarah JTU Datuk Bernard Liew Chau Min berkata tindakan segera diambil setelah menerima aduan daripada orang awam.

“Dua pasukan anggota penguatkuasa diarahkan untuk membuat risikan dan serbuan ke tapak tersebut pada pukul lima petang.

“HASIL MENDAPATI PENGUSAHA TERLIBAT MENJALANKAN KEGIATAN MENCURI PASIR PADA WAKTU MALAM DAN MENGOREK SERTA MENGAMBIL PASIR DI KAWASAN ITU TANPA SEBARANG KEBENARAN ATAU LESEN UNTUK MENJALANKAN AKTIVITI SEBEGITU DI TAPAK TERSEBUT.

“Semasa serbuan sektitar pukul 8.10 malam itu, pasukan penguatkuasa telah merampas tiga unit jentera jengkaut iaitu Hitachi ZAX-200, Hitachi EX200, Hyundai 140LCM-7 dan dua unit lori 10 tan dengan muatan pasir darat.

“Walau bagaimanapun, tiada sebarang tahanan kerana pekerja terlibat berjaya melarikan diri,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Bernard berkata pihaknya telah membuat laporan polis mengenai serbuan dan sitaan itu.

Menurutnya, satu kertas siasatan akan dibuka sebaik semua maklumat yang perlu diperolehi dan tindakan sewajarnya akan dilaksanakan mengikut peruntukan-peruntukan dalam Ordinan Tanah Sabah, Bab 68.

“Pasukan penguatkuasa jabatan ini akan terus memantau aktiviti pengambilan tanah, pasir atau batu secara haram di seluruh Sabah bukan sahaja semasa hari bekerja tetapi juga pada hujung minggu dan cuti umum.

“Kami tidak akan teragak–agak untuk mengambil tindakan terhadap mana–mana pengusaha yang ingkar dan didapati melanggar undang–undang,” tegasnya. -SABAH NEWS