JUMLAH KES PENYAKIT KOLERA DI SABAH MENINGKAT

KOTA KINABALU: Bilangan kumulatif kes penyakit kolera di Sabah meningkat kepada 43 kes susulan pertambahan dua kali ganda pesakit sejak awal bulan ini.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Frankie Poon Min Fung berkata, pada 1 Julai lepas hanya 21 kes direkodkan dan ia telah meningkat secara mendadak dalam tempoh tiga minggu.

“Faktor utama peningkatan kes penyakit ini adalah kerana jangkitan penyakit bawaan air dan makanan yang tercemar.

“Walaupun kolera dapat diubati dan tidak membawa maut seperti Covid-19 namun ia boleh menyebabkan kematian dalam kes-kes yang serius jika tidak diberi rawatan segera,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata antara punca utama jangkitan penyakit itu adalah disebabkan pesakit berkenaan memakan makanan yang tidak dimasak atau mentah serta tidak membersihkan peralatan memasak dengan air yang dirawat.

“Oleh itu, penting untuk kita mengambil langkah pencegahan yang diperlukan untuk menjaga keselamatan diri dan keluarga dengan minum air yang di masak dan mencuci tangan dengan sabun sebelum makan atau mengendalikan makanan dan setelah pergi ke tandas.

“Selain itu pastikan makanan laut dan daging dimasak dengan betul,” tambahnya.