Junz: Beri masa Kerajaan Negeri bawa perubahan positif

Junz (2 dari kanan), Susan (kanan) bersama tetamu khas lain memalu gendang tanda simbolik persamian Festival Tanglung Pertengahan Musim Luruh Jalan Gaya di Lintasan Deasoka, KK

Oleh: Nio James

KOTA KINABALU: Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Junz Wong meminta rakyat untuk memberi peluang kepada Kerajaan Negeri kerana pentadbiran baru berusaha keras untuk membawa perubahan positif untuk Negeri Sabah.

Beliau berkata Kerajaan Negeri memerlukan penstrukturan semula dan sejak mengambil alih tampuk pemerintahan Kerajaan Negeri telah melaksanakan pelbagai program penbangunan untuk membangunkan Negeri ini.

Dari kiri, Tan Lee Fatt, Ginger Phoong. Junz Wong, Susan dan Liang Cai De menunjukkan skroll (tradisi Cina) yang diambil dari mulut naga

Oleh itu, beliau merayu kepada rakyat untuk memberi Kerajaan Negeri dan Ketua Menteri peluang untuk melaksanakan agenda pembangunan.

“Berilah kami masa dan sokongan kepada Ketua Menteri dalam usahanya untuk membawa perubahan positif untuk Sabah, katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Haji Apdal merasmikan Festival Tanglung Pertengahan Musim Luruh Jalan Gaya, di Lintasan Deasoka, disini pada Ahad.

MERIAH.. Sebahagian persembahan tarian tradisi Cina

Festival itu dianjurkan oleh Persatuan Masyarakat Cina Bersatu Sabah Kota Kinabalu (USCCAKK).

Junz berkata, kerajaan negeri sedang merancang pelan pembangunan yang akan diikuti pelaksanaannya tidak lama lagi.

Beliau berkata Kerajaan Negeri sedang bekerja keras tetapi Ketua Menteri lebih memilih untuk tidak mempolitikkan pelaksanaan program pembagunan yang sedang dan telah dilaksanakan, sebaliknya beliau menggalakkan pelaksanaan program berterusan.

Susan turut mempersembah tiga buah lagu di majlis itu

Semantara itu, Presiden USCCAKK, Datuk Susan Wong Siew Guen berkata, Festival Tanglung Pertengahan Musim Luruh merupakan salah satu daripada empat perayaan tradisi Cina yang paling penting.

Katanya festival itu jatuh pada hari ke-15 bulan Lunar kelapan.

Katanya, masyarakat Cina percaya bahawa bulan yang menjelma sangat bulat dan terang menderang pada hari itu.

“Selain meraikan perayaan itu tahun ini, festival ini juga turut menilmati kuih bulan adalah simbolik menyatukan keluarga.

Acara malam ini juga turut diadakan pertandingan tanglung, bertujuan untuk menjaga tradisi budaya Festival Pertengahan Musim Luruh,” katanya.

Susan berkata, festival itu juga adalah landasan yang ideal kepada masyarakat Cina untuk menyambutnya bersama semua lapisan masyarakat dan pelancong.

“Acara ini juga adalah peluang untuk rakyat memahami lebih mendalam tentang budaya Cina kami, dimana pada masa yang sama mempromosi persefahaman dan keharmonian kepelbagaian masyarakat kita, ” katanya.

Susan mengucapkan penghargaan kepada pemimpin persatuan dan masyarakat Cina diatas sokongan dan kesangupan untuk mengekalkan kebudayaan Cina.

Majlis itu turut dihadiri Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin, Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu Liang Cai De, Menteri Belia dan Sukan Ginger Phoong Jin Zhe, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Jimmy Wong, Pembantu Menteri Perdagangan dan Perindustrian Ben Hong, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Likas Tan Lee Fatt, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Nordin Siman dan Pengurus Besar Lembaga Pelancongan Sabah (STB) Noredah Othman.