Juragan bot ditahan bawa rokok seludup

SEMPORNA: Seorang juragan bot ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) yang sekali gus berjaya mematahkan cubaan menyeludup rokok tidak bercukai di kawasan perairan Tanjung Larapan, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, lelaki berusia 45 tahun ditahan PPM Semporna dan merampas rokok tidak bercukai bernilai RM65,420.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, bertindak dengan maklumat risikan, sepasukan anggota PPM Semporna pergi ke kawasan Laut Tanjung Larapan dan mengesan dua buah bot pam yang mencurigakan.

Katanya, hasil pemeriksaan bot pam pertama warna biru yang dikendalikan seorang lelaki menemui sebuah kotak yang mengandungi sejumlah rokok jenama L3, Mentol dipercayai tidak bercukai yang disembunyikan di dalam ruangan bot pam.

“Sebuah lagi bot pam bagaimanapun bertindak memecut dari lokasi ketika pasukan operasi menghampiri untuk tujuan pemeriksaan.

“Selepas mengejar bot suspek dalam tempoh lima minit, juragan terbabit terjun dari bot dan melarikan diri ke kawasan bakau Kampung Lumanggas, Semporna,” katanya ketik dihubungi, hari ini.

Menurutnya, usaha mengesan dan mencari tidak berjaya kerana keadaan gelap dan hasil pemeriksaan terhadap bot pam warna biru yang ditinggalkan menemui sejumlah rokok Astro yang disembunyikan di dalam beg plastik warna biru.

“Semua rampasan dan tangkapan dibawa ke Pangkalan PPM Semporna untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967 dan pihak polis menasihatkan orang awam agar tidak terlibat dengan aktiviti penyeludupan.

“Tiada kompromi dan tindakan undang-undang akan dikenakan kepada mana-mana pelaku,” katanya. – Info X