Kadar penembusan produk Takaful dan insurans Perlindungan Tenang masih rendah

[ad_1]

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) — Kadar penembusan produk Takaful dan insurans Perlindungan Tenang yang dilancarkan pada 2017 masih rendah dan jauh daripada sasaran yang ditetapkan.

Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Operasi Takaful Ikhlas Family Bhd Nazrul Hisham Abdul Hamid, yang mewakili Persatuan Takaful Malaysia (MTA) berkata walaupun jumlah polisi Perlindungan Tenang yang dijual sehingga 31 Dis 2018 melebihi 29,000, ia masih jauh daripada sasaran.

“Bagaimanapun, dengan kesedaran yang mendadak dan permintaan yang tinggi, kami percaya Perlindungan Tenang akan menjadi pilihan kepada golongan B40 kerana produk Perlindungan Tenang adalah pelan pelindungan Takaful dan insurans yang mampu milik, mudah untuk disertai dan menawarkan proses tuntutan yang mudah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Perlindungan Tenang adalah satu inisiatif kebangsaan yang dibangunkan dengan usaha sama MTA, Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) dan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) di bawah naungan Bank Negara Malaysia (BNM).

Menurut Nazrul Hisham, kadar penembusan perlindungan Takaful dan insurans dalam kalangan rakyat Malaysia masih rendah secara keseluruhannya iaitu pada 55 peratus dan ini adalah antara sebab mengapa Perlindungan Tenang di wujudkan.

“Antara punca kadar penembusan perlindungan Takaful dan insurans yang rendah di Malaysia ialah kerana ia masih tidak menjadi keutamaan dalam kalangan masyarakat.

“Oleh itu, industri tetap fokus dengan objektif iaitu untuk menggalakkan kesedaran orang ramai, mewujudkan pemahaman yang lebih baik mengenai manfaat perlindungan dan untuk meningkatkan tahap keinginan untuk memiliki perlindungan Takaful dan insurans,” katanya.

— BERNAMA

[ad_2]