Kalau PBS tanding di DUN Tambunan, STAR sedia tanding sana Parlimen Kota Marudu: Jovilis

STAR Sabah mengingatkan Parti Bersatu Sabah (PBS) bahawa STAR bersedia bertanding di Kerusi Parlimen Kota Marudu sekiranya PBS terus dengan pendirian untuk bertanding di Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan.

Setiausaha Penyelaras STAR Kota Marudu Jovilis Majami berkata, kenyataan Presiden PBS Datuk Seri  Dr. Maximus J. Ongkili yang mahu bertanding di DUN Tambunan menunjukan bahawa PBS memang tidak berniat untuk berkerjasama dengan parti STAR pada PRU atau PRN akan datang walaupun kedua-dua parti ini berada dalam kerajaan yang memerintah ketika ini.

Katanya, PBS harus sedar bahawa parti itu sudah melepasi zaman kegemilangan dan kini berada diambang kehilangan sokongan.

Menurutnya, apabila PBS mahu mendapatkan kembali Kerusi DUN Tambunan dengan alasan bahawa DUN itu merupakan lahirnya PBS, rakyat Sabah harus tahu bahawa itu adalah satu alasan dangkal.

“Ini kerana PBS telah tewas pada PRU dan PRN DUN Tambunan lepas, ini bukti rakyat Tambunan tidak lagi mahu menerima perjuangan parti itu di Tambunan.

“STAR Sabah yang menang di Tambunan juga adalah parti yang diasaskan oleh anak jati Tambunan dan sudah tentu STAR Sabah juga layak untuk bertanding di DUN ini jika alasan  dijadikan sandaran,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau juga mempersoalkan kenapa Presiden PBS yang berasal dari Tambunan tetapi bertanding di Parlimen Kota Marudu.

“Suka juga saya ingatkan presiden PBS bahawa USNO yang lahir di Kudat dan UPKO berasal dari Penampang tidak pula menuntut bahawa kawasan-kawasan ini milik abadi mereka apabila ada kerjasama dengan parti-parti yang lain.

“PBS perlu sedar dengan kekalahan parti itu di Tambunan kepada STAR, ini adalah kehendak rakyat,” katanya.

Oleh itu katanya, sebarang tuntutan di beberapa DUN yang pernah ditandingi oleh PBS terutamanya DUN Tambunan menunjukan bahawa parti berkenaan khususnya pimpinannya tidak menghormati kata sepakat yang diputuskan oleh kerajaan ketika ini.

“Sekiranya PBS masih berkeras dengan niat mereka, STAR DUN Tandek dan STAR  Parlimen Kota Marudu juga ada hak untuk meminta presiden STAR Sabah untuk bertanding di DUN Tandek dan Parlimen Kota Marudu walaupun itu adalah kawasan presiden PBS.

“Saya percaya STAR Tandek dan Kota Marudu sudah bersedia untuk menggunakan lambang STAR Sabah untuk bertanding di kedua-dua kawasan ini,” katanya. – Utusan Borneo
 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *