Kamurang sudah kena vaksin? Nah boleh sudah main bola nanti

Aktiviti sukan dan rekreasi berpasukan yang melibatkan sentuhan fizikal seperti bola sepak, bola tampar dan takraw di fasiliti terbuka serta tertutup dibenarkan di negeri Fasa 2 dan 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, berkata kebenaran itu terhad bagi individu yang lengkap divaksin sahaja dan dilakukan di premis mempunyai kawalan penyeliaan sepenuhnya.

“Aktiviti sukan dan rekreasi berpasukan yang melibatkan sentuhan fizikal (seperti bola sepak, bola tampar, takraw dan lain-lain) dibenarkan mengikut kapasiti penuh sukan tersebut terhad bagi individu yang telah lengkap vaksin sahaja dan dilakukan di premis yang mempunyai kawalan penyeliaan sepenuhnya.

“Aktiviti kecergasan individu seperti senamrobik, zumba dan seumpamanya yang dilakukan secara berkumpulan di kawasan/premis yang sama dengan mematuhi 50% kapasiti atau tidak melebihi 50 orang (mana-mana yang lebih rendah) bagi individu yang lengkap divaksin, dengan seliaan jurulatih/instruktur dibenarkan,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Ismail berkata aktiviti ziarah kubur yang yang beragama Islam juga dibenarkan dengan mengikut ketetapan pihak berkuasa agama negeri bagi setiap fasa PPN.

Katanya, aktiviti ziarah kubur selain Islam juga dibenarkan dengan mengikut ketetapan Kementerian Perpaduan Negara (KPN).

Ismail berkata, beberapa jenis perniagaan berikut dibenarkan kembali beroperasi dengan syarat vaksin yang telah ditetapkan di fasa satu PPN iaitu:

  • Kedai barang fotografi/ perkhidmatan fotografi.
  • Kedai barangan terpakai.
  • Kedai bunga/ nurseri;
  • Kedai kraftangan dan cenderahati;
  • Kedai antik;
  • Kedai alat permainan;
  • Kedai permaidani.
  • Kedai kandungan kreatif/ peralatan industri kreatif.
  • Kedai outdoor (termasuk peralatan perkhemahan, memancing dan
    lain-lain).
  • Kedai kosmetik, penjagaan kulit dan minyak wangi.
  • Kedai tembakau (termasuk vape / rokok elektronik).

Beliau berkata, kelonggaran baharu bagi sektor pekerjaan/ekonomi di negeri Fasa 2 PPN adalah semua pejabat swasta dibenarkan beroperasi seperti berikut:

  • Kapasiti 60% pekerja sekiranya 40% pekerja telah lengkap vaksin
  • Kapasiti 80% pekerja sekiranya 60% pekerja telah lengkap vaksin
  • Kapasiti 100% pekerja sekiranya 80% pekerja telah lengkap vaksin

Katanya, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik juga bersetuju untuk membenarkan peralihan ke Fasa 3 bagi negeri Terengganu berkuat kuasa 17 Sept ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *