KK sama Penampang sikit lagi bertukar jadi laut. ‘Kaw-kaw’ banjir dia

Hujan lebat di sekitar pantai timur Sabah sejak tengah hari tadi mengakibatkan beberapa kawasan di Kota Kinabalu serta Penampang dilanda banjir kilat dan tanah runtuh.

Antara lokasi dinaiki air termasuk Kampung Kolopis, Kampung Limbanak, Kampung Kituau, Kampung Kibabaig, Kampung Baru Luyang, Bundusan, serta pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Jalan Bundusan, dan Penampang Proper.

Lain-lain kawasan ialah Kampung Sugud, Kampung Inobong, Kampung Kambau, Taman Manis, Kampung Nambazan, Kampung Dungkahang, Taman Sahabat dan Kampung Tuavon.

Selain itu, satu kejadian tanah runtuh yang mengakibatan sekurang-kurangnya dua rumah dan tiga kenderaan mengalami kerosakan turut dilaporkan berlaku di Jalan Penampang-Tambunan.

Satu video yang menyaksikan beberapa mangsa diselamatkan daripada rumah terbabit turut tular di media sosial, hari ini.

Setakat ini, difahamkan tiada kemalangan jiwa dilaporkan susulan kejadian itu.

Dalam perkembangan sama, jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sabah berkata, beberapa jalan di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang turut dinaiki air sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Sekurang-kurangnya dua rumah dan tiga kenderaan mengalami kerosakan akibat tanah runtuh di Jalan Penampang-Tambunan, hari ini. (screenshot video tular)

Antara jalan yang dinaiki air termasuk di Jalan Datuk Panglima Banting, Jalan Kolopis, Jalan Donggongon, Jalan Bundusan, Bulatan Sigah, Jalan Inobong, Jalan Sugud, Jalan Papar-Penampang Lama, Jalan Kasigui.

“Pusat pemindahan sementara (PPS) di rumah Kelab Kompleks Sukan Penampang juga telah mula dibuka sejak 3.30 petang tadi,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Bomba ketika dihubungi berkata, mereka turut menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian banjir di beberapa kawasan.

“Pihak bomba masih dalam proses membantu menyelamatkan mangsa ke tempat yang selamat.

“Selain itu, satu kejadian tanah runtuh juga dilaporkan dan sepasukan anggota bersama unit K9 digerakkan ke lokasi kejadian,” katanya.