Kanak-kanak didera sehingga meninggal dunia

JAKARTA, 16 April 2022 – Seorang kanak-kanak dipercayai meninggal dunia akibat didera oleh dua abang saudaranya di sini, pada Selasa lalu.

Menurut Kompas.com perlakuan kedua-dua suspek tersebut mula diketahui apabila mereka mendatangi ketua kampung, Suraji untuk meminjam tempat mandi jenazah.

Sehubungan itu, Suraji yang merasa pelik kerana tiada sebarang kematian dilaporkan di kampung tersebut mengambil keputusan untuk mengunjungi rumah suspek dan mendapati mangsa, Dila sudah meninggal dunia.

Ketika itu, suspek memaklumkan kepada Suraji bahawa mangsa meninggal dunia kerana terjatuh dari tingkat dua rumah mereka.

Bagaimanapun, Suraji mecurigai kedua-dua suspek itu kemudian melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis dan akhirnya perbuatan mereka terbongkar setelah ditahan dan mengaku telah memukul mangsa sehingga meninggal dunia.

Hasil siasatan mendapati, mangsa meninggal pada malam Selasa lalu akibat pelbagai kecederaan manakala badannya dipenuhi kesan pukul baharu serta lama.

Kompas.com juga melaporkan bahawa sebelumnya, mangsa pernah datang ke sekolah dengan keadaan kepalanya botak dan kakinya mengalami kecederaan sehingga tidak boleh memakai kasut serta berjalan dengan sempurna.

Dalam pada itu, seorang guru turut menceritakan bahawa mangsa pernah melaporkan perbuatan abang-abang sepupunya itu.

Guru tersebut juga pernah bertemu dengan kedua suspek di sekolah untuk meminta mereka berhenti mencederakan mangsa.

Malangnya, guru sekolah mangsa dikejutkan dengan berita kematian anak muridnya itu.

Menurut gurunya, mangsa dijaga ibu saudaranya berusia 35 tahun kerana wanita itu tidak mempunyai anak perempuan. Namun sejak perceraiannya dengan suami, mangsa ditinggalkan dan terpaksa tinggal bersama dua abang sepupunya yang merupakan anak ibu saudaranya itu.