Pihak berkuasa kesihatan perlu memindahkan pesakit bukan Covid-19 ke hospital swasta bagi memberikan ruang pesakit virus itu mendapatkan rawatan di hospital kerajaan, kata Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM).
Presidennya, Dr Kuljit Singh berkata, pesakit dari hospital awam boleh menerima rawatan pada kos yang dipersetujui, kecuali pada tahun lepas di mana ia ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.
Kuljit berkata, kebanyakan hospital swasta tidak lagi berupaya menerima pesakit Covid-19, khususnya di Lembah Klang, berikutan peningkatan kes Covid-19 yang dirawat di sana sejak lebih dua minggu lalu.
Katanya, hospital swasta mempunyai jumlah katil, kemudahan ICU, juga pakar dan jururawat yang terhad untuk mengendalikan pesakit Covid-19.
“Keutamaan kami adalah untuk memberikan rawatan terbaik dengan fokus utama kami adalah keselamatan pesakit dan kesan selepas rawatan,” katanya dalam kenyataan.
“Kami faham kemudahan hospital kerajaan di Lembah Klang dan mungkin di Johor antara yang cepat diisi dengan pertambahan jumlah pesakit ketika ini.
“Harapan kami supaya masyarakat umum akan mengambil serius isu kekurangan katil di hospital dan bertanggungjawab memastikan penyebaran (Covid-19) dapat diatasi dan semua SOP pencegahan juga dapat dipatuhi,”
Katanya, apa yang paling ditakuti adalah “lumpuhnya satu lagi perkhidmatan kesihatan” jika tidak ada katil atau rawatan oksigen kepada yang memerlukan.
Hospital swasta mula menerima pesakit Covid-19 sejak Januari lalu selepas kerajaan meminta mereka untuk membantu menguruskan pandemik berkenaan.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ