Disyaki rasuah, SPRM tahan dua orang staf badan berkanun negeri

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua kakitangan sebuah badan berkanun negeri selepas disyaki menerima rasuah.

Kedua-dua individu terbabit dipercayai menerima wang berjumlah RM 2,700, sebagai balasan mendapatkan kontrak kerja.

Menurut sumber, wang berkenaan diminta daripada pekerja yang menjalankan kerja pertanian di badan berkanun berkenaan.

Katanya, seorang daripada suspek berusia 40-an itu ditahan kira-kira jam 3.15 petang, dalam satu operasi di Tuaran. 

“Susulan daripada penahanan suspek pertama, membawa kepada penahanan suspek kedua berusia 30-an, kira-kira jam 8 malam di pejabat SPRM Kota Kinabalu.

“Turut dirampas wang tunai berjumlah RM 3,500 yang dipercayai diterima secara rasuah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

Katanya, kedua-kedua suspek disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

“Kedua-dua suspek ditahan selama 24 jam untuk siasatan lanjut dan dilepaskan dengan jaminan SPRM,” tegasnya. – Asia Times

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *