KATAK SEBENAR ADALAH WAKIL RAKYAT YANG MELOMPAT SELEPAS KERAJAAN DIBENTUK

TUARAN: Mantan naib presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Terence Sinti berkata, istilah katak hanya tepat ditujukan kepada wakil rakyat yang melompat selepas pembentukan sebuah kerajaan.

Beliau yang kini bersama dengan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata, sebaliknya tidak ada istilah katak jika sesebuah parti bergabung dengan parti lain sebelum kerajaan dibentuk selepas pilihan raya.

“Kita kena faham istilah ini bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Penggabungan dua buah atau beberapa parti kadangkala terpaksa diambil demi menyelesaikan sesebuah kerajaan yang tergantung kerana tidak ada parti yang mempunyai kerusi majoriti untuk membentuk kerajaan.

“Dalam hal ini, keputusan diambil bukan secara individu, tetapi penggabungan itu sekurang-kurangnya perlu melalui mesyuarat Majlis Tertinggi parti sebelum dimuktamadkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima borang kemasukan 80 ahli Parti Bersatu Sabah (PBS) cawangan Malangang Baru ke UPKO, di sini, baru-baru ini.

Terence yang juga bekas ketua pemuda STAR dan pernah bertanding untuk parti berkenaan di Kiulu pada Pilihan Raya Umum (PRU13) dan PRU14 berkata, negeri Sabah pada PRU lalu tidak dapat menentukan siapakah yang akan membentuk kerajaan kerana tidak ada parti yang mendapat kerusi majoriti.

“Pada ketika itu BN meraih 29 kerusi, pembangkang sepatutnya 31 kerusi iaitu Warisan dan PH Sabah 29 kerusi, manakala STAR 2 kerusi.

“Daripada keputusan ini jelas menunjukkan bahawa rakyat mahukan perubahan pucuk kepimpinan dan menolak BN. Namun STAR yang pada ketika itu belum berpihak pada mana-mana parti menjadikan kerajaan negeri tergantung kerana BN dan pembangkang Warisan-PH mempunyai jumlah kerusi yang sama iaitu sebanyak 29 kerusi.

“Untuk makluman, agenda perjuangan kami di STAR adalah untuk mengalahkan BN UMNO dan mahukan parti tempatan yang memerintah di Sabah. Namun demikian semua kita tahu, bukan itu yang berlaku sebaliknya STAR bergabung dengan BN, dan itulah perkara yang saya tidak boleh terima hingga kini,” katanya.

Berhubung keputusan UPKO untuk bekerjasama dengan Warisan-PH Sabah membentuk kerajaan Negeri pada PRU14, beliau menyifatkan ia sebagai satu tindakan yang sangat berani dan menghormati mandat rakyat.

“Sebanyak 60 peratus pengundi rakyat Sabah pada ketika itu telah memberikan mandat kepada pembangkang untuk mengalahkan BN. Begitu juga rakyat Malaysia secara keseluruhannya telah menyokong PH untuk menumbangkan BN.

“Sebelum menyertai UPKO, saya telah membuat analisis untuk mengetahui apa yang telah berlaku pada ketika itu. Hasilnya saya mendapati keputusan UPKO bukan dibuat secara membuta-tuli atau secara individu, tetapi melalui satu mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi bagi mendapat keputusan muktamad dari pucuk kepimpinan parti.

“Saya masih ingat pada ketika itu apabila Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau membuat sidang media mengumumkan keluar dari BN dan akan berkerjasama dengan Warisan bagi menyahut kepada aspirasi rakyat secara keseluruhannya. Dan ini sidang media itu dibuat sebelum pembentukan kerajaan negeri,” ujarnya.

Sementara itu, Terence menegaskan wakil rakyat yang melompat selepas pembentukan kerajaan sebenarnya adalah katak kodok dan hanya bemotifkan keuntungan peribadi.

“Mereka bukan sahaja membelakangi parti tetapi tidak ikhlas dalam mempertahankan mandat rakyat dan tidak keterlaluan untuk dilabelkan sebagai pengkhianat parti dan rakyat demi keuntungan peribadi.

“Sejak saya berada dalam parti UPKO, saya sendiri melihat dan berkesempatan menyertai Datuk Seri Madius dan rakan-rakan lain turun padang menyelesaikan pelbagai permasalah rakyat. Dari menyelesaikan masalah air, jalan raya, penyaluran pelbagai bantuan rakyat yang dalam kesusahan, semua ini saya lihat dengan mata sendiri. Ya ini untuk rakyat.

“Sehubungan itu, saya ingin menyeru agar kita bersama-sama untuk terus memberi sokongan kepada mereka yang benar-benar ikhlas berjuang membela rakyat, bukannya mereka yang hanya pentingkan diri sendiri,” tegas beliau.-http://beritasabah.com