Oleh Wartawan BS
7 Februari 2020
SIPITANG: Jabatan Perhutanan Sabah merampas sekurang-kurangnya 1,700 batang kayu balak bernilai lebih RM1 juta yang dipercayai ditebang secara haram di kawasan Long Mio, di sini, petang Rabu.
Ketua Konservator Hutan, Datuk Mashor Mohd Jaini, berkata rampasan dilakukan susulan aduan yang diterima berkaitan kes pencerobohan kawasan konsesi Sabah Forest Industries Sdn Bhd (SFI) di Hutan Simpan Ulu Sungai Padas, baru-baru ini.
Sebelum itu, katanya, Pasukan Penguatkuasa Khas Jabatan Perhutanan Sabah telah mengesan longgokan kayu balak di kawasan terbabit ketika tinjauan udara menggunakan helikopter dilakukan.

“Penemuan itu kemudian dimaklumkan kepada unit PROTECT yang kemudian membuat serbuan di lapangan.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati balak berjumlah lebih kurang 1,700 batang yang dikumpul di beberapa lokasi berasingan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Difahamkan, setakat ini, tiada tangkapan dibuat, namun Jabatan Perhutanan sudah mengenal pasti syarikat yang disyaki terbabit melakukan aktiviti berkenaan dan akan memanggil beberapa saksi untuk membantu siasatan.

Mashor berkata, kes akan disiasat di bawah Seksyen 20 Enakmen Hutan 1968 dan sekiranya disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 dan penjara tidak kurang satu tahun tetapi tidak melebihi 20 tahun.
Beliau turut memberi amaran kepada semua pengusaha pembalakan dan pemilik tanah yang sedang membuka kawasan supaya tidak memandang ringan kesalahan berkenaan.
“Kita tidak akan berkompromi terhadap kesalahan yang serius,” katanya.

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK