KOTA KINABALU: Seorang lelaki sanggup menjadi ‘keldai dadah’ semata-mata untuk meraih keuntungan dengan mudah.
Namun kegiatan kejinya itu berjaya dikesan pihak berkuasa selepas menerima maklumat risikan dan hasil intipan.
Suspek lelaki tempatan berusia 33 tahun ditahan dalam satu operasi jam 2.20 petang, di sini, kelmarin.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan George Abd Rakman berkata, siasatan awal mendapati suspek yang juga seorang penganggur dikesan berperanan sebagai penjual dadah jenis syabu secara kecil-kecilan di sekitar kawasan perumahan Telipok.

“Sebelum ditahan, suspek dilihat dalam keadaan mencurigakan dan tergesa-gesa sambil memegang beg plastik masuk sebuah kenderaan Proton Saga FLX.
“Suspek kemudiannya terus ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.
“Pemeriksaan mendapati beg plastik yang dibawa berisi tiga paket syabu seberat 63.06 gram yang dianggarkan bernilai RM6,300,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
George berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati dan Seksyen 15(1£(a) akta sama.
“Siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan Akta Dadah Berbahaya selain positif ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadapnya,” katanya.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ