TAWAU: Seorang wanita warga asing ditahan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) selepas disyaki cuba membawa masuk barangan keperluan harian ke daerah ini tanpa permit yang sah.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 awal pagi tadi, wanita berusia 43 tahun itu sedang dalam perjalanan dari negara jiran menuju ke perairan Muara Sungai Tawau Lama di Batu Tiga, di sini.
Bertindak atas maklumat, Komander ESSCOM Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, sepasukan anggota Pasukan Polis Marin (PPM), Pasukan Gerakan Am Batalion 14, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang diketuai ESSCOM diatur gerak ke lokasi.
“Sebaik sampai di lokasi kejadian, pasukan ESSCOM mengesan dan menahan sebuah jongkong yang sarat dengan muatan barang-barang disyaki cuba diseludup masuk ke negara ini.
“Pemeriksaan lanjut mendapati, seorang wanita berada di dalam jongkong bersama dengan barangan seludup.

“Siasatan lanjut mendapati wanita berkenaan mengakui cuba membawa masuk barangan berkenaan tanpa memiliki sebarang permit atau surat kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Ahmad Fuad berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Ujar beliau, antara barangan yang dirampas termasuk 20 kotak gula merah indonesia, satu kotak perikuk kukus, 12 buah kuali kawah, enam kotak kuali aluminium, satu karung penyapu, satu karung kain baju daster, sembilan karung beras pulut hitam, empat karung cheddar cheese, lapan karung serbuk kuku bima dan dua karung sambal pechal.
“Turut dirampas perahu kayu jenis jongkong bersama enjin sangkut yamaha 40 kuasa kuda dengan nilai keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM40,000.00,” katanya.
Suspek wanita itu ditahan dan dibawa ke ibu pejabat polis Tawau untuk siasatan lanjut untuk siasatan mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ