Kegagalan usul semalam adalah salah Kerajaan sepenuhnya

Salahuddin Ayub

KUALA LUMPUR, 24 Mac — Ahli parlimen pembangkang menyanggah hujah UMNO mendakwa Pakatan Harapan (PH) melanggar perjanjian mereka dalam Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Putrajaya setelah Kerajaan gagal mendapat sokongan majoriti dalam meluluskan rang undang-undang mengenai Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma).

Menurut Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub, PH hanya menjalankan tugas mereka, dan pendirian terhadap penahanan tanpa bicara adalah konsisten.

Katanya rang undang-undang Sosma yang ingin dilanjutkan itu tidak dibawa ke perbincangan dengan PH seperti yang dinyatakan dalam MOU dan mereka hanya akan berkompromi jika akta itu dipinda.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil mengatakan bahawa kegagalan tersebut berlaku disebabkan ketidakhadiran beberapa pemimpin UMNO sendiri dalam membuat undian di Parlimen semalam.

Jelasnya, semasa usul tersebut perlu diundi, 31 ahli parlimen Kerajaan sendiri tidak hadir untuk membuat undian.

Antara yang tidak ada di Dewan Rakyat semalam ialah presiden Umno sendiri, Ahmad Zahid Hamidi, bekas perdana menteri Najib Razak, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan, Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa, dan Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh).

Fahmi Fadzil

“Sangat luar biasa apabila ada 31 ahli parlimen kerajaan ‘hilang’ semasa usul mereka perlu diundi.

“Daripada mereka jaja cerita kononnya PH gagalkan MOU, lebih baik mereka jelaskan kenapa mereka tak hadir untuk sokong usul kerajaan sendiri.

“Kalau dua tiga (orang) daripada mereka ini hadir pada masa mengundi, usul kerajaan pasti lulus,” katanya lagi.

Usul tersebut gagal mendapat sokongan majoriti apabila undi pihak kerajaan – sebanyak 84 – diatasi undi menolak sebanyak 86.

Dalam pada itu, Salahuddin yang juga menganggotai jawatankuasa pemandu MOU menyatakan bahawa ketidakhadiran tersebut nyata menunjukkan kelemahan Kerajaan.

“Kenapa mereka tak beri arahan supaya ahli kerajaan kekal (hadir dalam dewan) untuk mengundi? Dan kenapa jumlah yang tak hadir itu ramai?

“Perkara kedua ialah, kemungkinan kegagalan usul semalam disengajakan sebagai langkah sabotaj,” kata Salahuddin.