Pembentangan Rang Undang-undang IPCC ditangguh sekali lagi

KUALA LUMPUR, 24 Mac — M. Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) menyatakan rasa tidak puas hati apabila Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsuddin sekali lagi menangguhkan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) 2022.

RUU IPCC yang bertujuan menggantikan RUU Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dibawa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) seharusnya dibaca buat kali kedua pada hari ini namun kerajaan menangguhkan pembentangannya pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Sehubungan itu, Kulasegaran yang tidak berpuas hati memohon kepada kerajaan untuk menjelaskan alasan usul tersebut ditangguhkan walhal usul tersebut sudah ditangguh beberapa kali.

“Macam tidak ada hasrat oleh kerajaan untuk membawa pembaharuan (dalam pasukan) polis. Orang ramai tak faham kenapa kerap kali parlimen bersidang akta ini ditunda. Apa dia punya asas, saya nak tahu,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Rashid menjelaskan bahawa Mas Ermieyati sudahpun memaklumkan usul tersebut akan dibawa dalam sidang Dewan Rakyat akan datang.

Kulasegaran berkata sebelumnya usul ini juga pernah ditangguhkan dengan menggunakan alasan yang sama.

Bagaimanapun, IPCC disifatkan lemah berbanding IPCMC kerana salah satu perbezaan utamanya adalah badan dicadangkan kerajaan sekarang tidak boleh mengambil sebarang tindakan terhadap anggota polis yang membuat salah laku.

Sebaliknya, menurut RUU IPCC, tindakan perlu dirujuk kepada Suruhanjaya Pasukan Polis atau badan lain yang berkaitan.