KEGIATAN AH LONG TIDAK BERLESEN DI SANDAKAN TUMPAS

KOTA KINABALU: Polis berjaya menahan pemberi pinjaman wang tidak berlesen atau ‘Ah Long’ di Sandakan selepas dikatakan cuba menyerang seorang peminjam yang gagal melunaskan hutang menggunakan gunting.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mazli Mazlan berkata, seorang mangsa lelaki berusia 38 tahun membuat laporan selepas berasa terancam dengan tindakan salah seorang suspek berkenaan.

“Mangsa dikatakan meminjam sebanyak RM800 daripada kumpulan ah long berkenaan. Bagaimanapun, mangsa gagal menjelaskan hutang yang dinaikkan menjadi RM1,600 itu selepas ditagih kumpulan ‘Ah Long’ berkenaan dengan alasan baru saja mendapat kerja sebagai pembantu restoran.

“Akibat daripada kegagalan mangsa menyelesaikan hutang, salah seorang ‘Ah Long’ cuba menyerang mangsa dengan gunting namun berjaya ditenangkan oleh rakan suspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sabah, di sini, semalam.

Mazli berkata, berdasarkan laporan yang diterima daripada suspek, polis melancarkan operasi memburu semua suspek yang terbabit.

Katanya, sehari selepas mangsa membuat laporan, polis berjaya menahan tujuh lelaki dan seorang wanita berusia 20 hingga 40 tahun.

“Siasatan mendapati modus operandi yang digunakan kumpulan ‘ah long’ berkenaan adalah menjalankan perniagaan memberi pinjaman tanpa lesen dengan mengenakan caj faedah yang tinggi.

“Semua suspek ditahan berperanan sebagai pengurus pinjaman, pengutip hutang dan pembantu ah long untuk memaksa mangsa menyelesaikan hutang.

“Semua suspek kini ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1961,” katanya.