KUDAT: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menahan sebuah perahu yang dipercayai melakukan aktiviti mengebom ikan di kawasan laut Teluk Long, Pulau Balambangan, di sini, hari ini.
Dalam operasi Op Gelora Khas yang dijalankan jam 8.15 pagi itu, dua lelaki yang menaiki perahu berkenaan cuba melarikan diri ke kawasan cetek selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Kedua-dua lelaki akhirnya berjaya menghilangkan diri dengan meninggalkan perahu dan terus lari ke kawasan Pulau Balambangan.
Pegawai Pemerintah PPM Kudat, Asisten Superintendan Rizauddin Selamat berkata, hasil pemeriksaan terhadap perahu berkenaan membawa kepada penemuan kira-kira 50 kilogram pelbagai jenis ikan.
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati semua ikan berkenaan disyaki ditangkap menggunakan kaedah bahan letupan.

“Semua ikan berkenaan dianggarkan nilai sebanyak RM500 berdasarkan harga pasaran semasa.
“Rampasan kemudiannya dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Kudat untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Rizauddin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 26 (1)(c) Akta Perikanan 1985.
Katanya, jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda maksimum RM20,000 dan penjara maksimum dua Tahun.-http://beritasabah.com

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK