Kehadiran Madius meriahkan lagi Pertandingan Memancing Terbuka AIM

TUARAN: Sebanyak 214 peserta menyertai pertandingan memancing terbuka anjuran Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) cawangan Tuaran, di sini, hari ini.

Pertandingan yang menawarkan hadiah berjumlah RM4,800 diadakan bertempat di Kampung Nelayan, Kolam Air Masin Laya-Laya.

Bermula seawal jam 8 pagi, ia dimeriahkan lagi dengan kehadiran Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

Berucap merasmikan majlis itu, Madius memaklumkan penganjurannya amat bertepatan dalam mempromosi daerah tersebut sebagai destinasi acara memancing dalam kalangan peminat joran di seluruh Sabah.

“Saya berharap pertandingan memancing ini dapat diteruskan sebagai acara tahunan bagi menarik lebih ramai pengunjung ke kawasan ini selain membantu menaikkan sumber ekonomi penduduk dan mempromosikan aktiviti memancing sebagai sukan rekreasi yang sihat.

“Saya difahamkan penyertaan kali ini bukan hanya melibatkan peminat pancing sekitar Tuaran tetapi turut menarik penyertaan daripada pelbagai peserta luar.

“Tahniah saya ucapkan kepada AIM atas inisiatif pengajuran program ini,” ujar Presiden Kehormat UPKO itu lagi.

Tinjauan media mendapati kesemua peserta rata-rata bersaing untuk menaikkan spesies ikan Kerapu, Keratang, dan Ikan Putih sebagai sasaran utama.

Ia bagi merebut gelaran juara yang menawarkan hadiah wang tunai bernilai RM3,000.

Peserta yang muncul sebagai pemenang naib juara bakal membawa pulang RM1,000, manakala tempat ketiga akan meraih RM500.

Hadiah bagi tempat keempat dan kelima pula masing-masing akan menerima wang tunai berjumlah RM150.