TUARAN: Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tuaran dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar serta pelbagai institusi pengajian dan agensi menganjurkan Gotong Royong Perdana sempena Sambutan Hari Pembersihan Sedunia Peringkat Daerah Tuaran 2024 di sini, hari ini.
Sambutan yang buat julung kalinya diadakan itu melibatkan 28 kampung dan tiga taman perumahan bertempat di Padang Sekolah Kebangsaan Mengkabong.
Majlis perasmiannya disempurnakan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.
“Melalui kerjasama erat antara komuniti, pelbagai Institusi Pengajian di Sabah, serta agensi-agensi kerajaan dan swasta, kita berharap agar amalan gotong-royong ini akan terus diterapkan dalam kehidupan seharian.
“Ini akan mencerminkan rasa tanggungjawab bersama dalam menjaga alam sekitar untuk generasi akan datang,” katanya dalam ucapan perasmian.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya.
Madius turut menyuarakan rasa syukur atas penglibatan semua institusi pengajiian serta agensi dan kampung-kampung yang mengambil bahagian.
“Saya amat gembira melihat sambutan yang begitu baik, dengan penglibatan masyarakat kampung dan taman perumahan di sekitar Tuaran yang turut serta menjayakan program ini.
“Mereka akan dinilai selama setahun bersama institusi dan agensi angkat masing-masing bagi Pertandingan Kampung Lestari yang berlangsung selama setahun sehingga 2025.
“Saya juga berterima kasih kepada pihak Petronas serta semua institusi pengajian dan pelbagai agensi kerajaan dan swasta yang telah bekerjasama menganjurkan program ini.
“Visi kita adalah untuk membina persekitaran yang lestari, di mana kemajuan ekonomi dan gaya hidup sihat dapat dikekalkan untuk masa hadapan.
“Dengan usaha bersama seperti ini, saya yakin kita dapat mencapai matlamat tersebut dan mewujudkan masyarakat yang lebih peka terhadap kelestarian alam sekitar,” ujar Madius.
Selain acara gotong-royong, sambutan Hari Pembersihan Sedunia Peringkat Daerah Tuaran itu turut diisi dengan aktiviti kitar semula sebagai kesedaran melupuskan bahan-bahan terpakai dengan cara yang lebih lestari.
More Stories
Seramai 650 pendatang asing tanpa izin dihantar pulang dari sandakan
Wanita cedera kereta terbabas ke dalam gaung
Dakwa warga China kerja tanpa permit, pengusaha pelancongan tempatan di Semporna lapor polis