KEMASUKAN PELANCONG KOREA SELATAN DISEKAT

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memperluaskan sekatan perjalanan terhadap semua pelancong warga asing yang mempunyai sejarah perjalanan ke Korea Selatan, berkuatkuasa esok.

Perintah larangan itu dikeluarkan kerajaan negeri berikutan peningkatan mendadak kes koronovirus (Covid-19) di negara berkenaan dan sebagai langkah membendung penularan wabak itu.

Susulan perintah terbaharu itu, semua pelancong yang mempunyai sejarah perjalanan dari Korea Selatan dalam tempoh 14 hari tidak dibenarkan masuk ke negeri ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong, berkata penumpang yang transit melalui Korea Selatan juga tidak dibenarkan masuk ke negeri ini.

“Bagaimanapun, semua penerbangan dari Korea Selatan ke Sabah yang membawa penumpang warga Malaysia masih dibenarkan masuk ke negeri ini.

“Kita juga masih membenarkan warga Korea Selatan dan pelancong asing yang tiba ke negeri ini dengan menaiki penerbangan bukan langsung dari Korea Selatan, serta semua keluar dari negeri ini ke Korea Selatan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Selain itu, kerajaan negeri turut menasihatkan warga Korea Selatan yang masih berada di negeri ini untuk pulang ke negara asal sebelum visa mereka tamat tempoh.

Safar berkata, bagi visa yang tamat tempoh, mereka dibenarkan melanjutkan tempoh visa selama tujuh hari.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *