KOTA KINABALU: Dewan Rakyat akan bersidang Isnin depan bagi memilih siapa Perdana Menteri seterusnya atau kemungkinan parlimen dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya diadakan.
Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sidang medianya di Putrajaya, hari ini, berkata Yang di-Pertuan Agong mendapati tidak ada seorang pun pemimpin yang mempunyai majoriti mutlak untuk membentuk kerajaan.
“Dan kerana tidak ada majoriti jelas, (Seri Paduka) kata forum yang sesuai adalah Dewan Rakyat
“Jadi parlimen akan bersidang pada 2 Mac (Isnin depan)… siapa yang ada sokongan majoriti di Dewan Rakyat akan menjadi perdana menteri seterusnya.
“Bagaimanapun, jika Dewan Rakyat gagal mendapat seorang yang ada majoriti, kita perlu lalui pilihan raya,” katanya.
Mahathir pagi tadi mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, di Kuala Lumpur.
Persidangan dengan Raja-raja Melayu juga dijadualkan esok.
Parlimen pada asalnya dijadualkan bersidang semula pada 9 Mac, tetapi tarikh berkenaan telah dianjakkan lebih awal untuk menyelesaikan kebuntuan politik saat ini.
Ditanya mengenai bagaimana ini akan berfungsi, Mahathir berkata sesiapa yang dipilih sebagai perdana menteri boleh melantik kabinet berdasarkan siapa yang mereka mahukan.
“Dia boleh memilih sebarang anggota tanpa ikatan dengan mana-mana parti… (mereka akan berada dalam kabinet) sebagai individu dan tidak dilihat sebagai wakil parti masing-masing,” katanya.
Beliau menambah bahawa ahli parlimen Bebas juga boleh dipertimbangkan jika mereka layak.
Mahathir berkata Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin juga telah berbincang dengannya mengenai kemungkinan dirinya menjadi calon perdana menteri.
PH pula sebelum ini menamakan Presiden PKR, Anwar Ibrahim sebagai calon mereka.
Sebelum ini, Umno dan PAS menarik semula sokongan mereka terhadap Mahathir kerana membantah model kerajaan individu itu. Mereka sebaliknya mahu pilihan raya umum diadakan.

More Stories
Anwar pertimbang PRU menjelang Oktober ketika isu subsidi bahan api memuncak
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong