Kematian penunggang motosikal membimbangkan, WHO gesa tindakan segera

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan manual untuk menangani kematian di jalan raya di Asia Tenggara, memandangkan satu daripada tiga kematian di rantau ini membabitkan penunggang motosikal.

Mengambil kira peningkatan jumlah kematian membabitkan pengguna kenderaan beroda dua dan tiga – mewakili 43% kematian di jalan raya – pertubuhan antarabangsa itu mahu negara-negara Asia Tenggara mengambil tindakan segera.

Menurut data WHO, kematian dalam kalangan penunggang motosikal di Thailand dan Kemboja masing-masing mewakili 73% dan 74% daripada keseluruhan kematian jalan raya di negara-negara itu pada 2016.

Sehingga Ogos tahun lepas, bagi setiap 100 kematian di Malaysia, 70 membabitkan penunggang motosikal. Sejumlah 89,953 daripadanya berlaku di jalan raya antara 2001 dan 2021.

“Hampir 30% daripada semua kematian akibat nahas di Asia Tenggara melibatkan kenderaan beroda dua dan tiga berkuasa seperti motosikal, moped, skuter dan basikal elektrik, dan jumlahnya semakin meningkat,” kata Ketua Keselamatan dan Mobiliti WHO Nhan Tran.

Manual berkenaan dilancarkan sempena dialog keselamatan jalan raya serantau global mengenai keselamatan motosikal di Manila.

“Program berkenaan bertujuan merangsang komitmen dan penyelesaian kepada krisis keselamatan pengguna jalan raya dengan fokus kepada negara (di mana) motosikal menjadi mod dominan bagi pengangkutan di jalan raya,” katanya kepada FMT.

Dengan Malaysia semakin hampir menggantikan Thailand mencatat kadar kematian terburuk di dunia dalam kalangan pengguna motosikal, WHO berharap pembuat dasar dan pihak berkuasa dapat mengadaptasi manual berkenaan untuk menyelamatkan nyawa di jalan raya.

Data global menunjukkan Asia Tenggara dan Afrika mencatat kadar tertinggi kematian di jalan raya bagi 100,000 penduduk.

Remaja dan dewasa berusia antara 15 hingga 34 tahun menjadi kumpulan umur paling ramai maut, mewakili lebih 60% kematian daripada semua kematian berkaitan kenderaan beroda dua dan tiga di negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Nhan berkata, antara faktor utama risiko termasuk kegagalan memakai topi keledar, kelajuan melampau, pengambilan alkohol, keadaan buruk trafik, permukaan jalan raya teruk dan bahaya di tepi jalan.

Difahamkan delegasi daripada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) juga menghadiri dialog itu dan berkongsi dapatan dan kajian berhubung nahas motosikal melalui perspektif Malaysia.

Delegasi Miros juga mengadakan siri demonstrasi mengenai keberkesanan sistem brek anti-kunci bagi motosikal.