KERAJAAN NEGERI DIGESA BANTU MANGSA KEBAKARAN KAMPUNG MUHIBBAH DAPATKAN TEMPAT TINGGAL

Sahar (kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang mangsa kebakaran Kampung Muhibbah, Batu 2 1/2 Jalan Utara

SANDAKAN : Kerajaan Negeri  sewajarnya membantu mangsa kebakaran Kampung Muhibbah, Batu 2 1/2 Jalan Utara untuk mendapatkan tempat tinggal ekoran kebakaran yang berlaku baru-baru ini.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Sahar Abdul Majid berkata demikian ketika menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa berkenaan di lokasi kebakaran pada Ahad.

“Kita difahamkan PPR di Taman Harmoni masih banyak kosong, sepatutnya rumah ini diberikan kepada mereka dengan syarat yang mudah,” ulas Sahar.

“Majlis Perbandaran Sandakan, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri di sini sewajarnya menguruskan perkara ini agar menjadi mudah kerana sudah dua minggu mereka belum ada tempat tinggal,” gesa Sahar.

Seruan sama pernah disuarakan beliau yang merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Sandakan ketika kebakaran berlaku di Parlimen Batu Sapi beberapa bulan lalu.

“Kita juga minta kerajaan untuk dirikan lebih banyak rumah PPR bagi memudahkan rakyat mendapat rumah mampu milik,” tambahnya.

Hadir sama dalam penyerahan sumbangan itu ialah Ketua Penerangan Pemuda PAS Sabah, Mustaman Mustain, Ketua Pemuda PAS Sandakan, Ramlan Pandi dan beberapa orang AJK PAS Kawasan Sandakan.