Penyertaan perbarisan Hari Kebangsaan tahun ini menggalakkan

Peter (tengah) bersama Jaujan, Ewon, Hiew dam Ariffin menyentuh bebola kaca tanda simbolik perasmian Pameran Khas Sabah Tanah Airku sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2019, di Imago Shoppimg Mall.

Oleh: Nio James

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony berkata, penyertaan untuk acara perbarisan sempena sambutan Hari Kebangsaan peringkat Negeri Sabah  pada tahun ini menggalakkan.

Menurutnya, lebih 70 penyertaan,  selain kontijen daripada kerajaan, ramai pasukan daripada swasta, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah mendaftar untuk menyertai acara perbarisan kali ini.

“Termasuk juga penyertaan daripada pasukan bola sepak negeri Sabah. Ini sesuatu yang baik dan luar biasa dimana penyokong pasukan bola sepak negeri Sabah boleh bersama mesra dengan para pemain bersama piala kemenangan baru-baru ini,” katanya.

Katanya, didalam acara kemuncak 31 Ogos juga akan diadakan acara promosi buah-buahan daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan seperti rambutan, duku, manggis dan sebagainya untuk diagihkan secara percuma kepada orang ramai yang hadir.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Pameran Khas Sabah Tanah Airku sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2019, di Imago Shoppimg Mall, disini pada Selasa.

Peter, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2019 berkata, pameran khas itu diadakan untuk memberikan informasi kepada masyarakat tentang peristiwa kemerdekaan Sabah dan perjuangan tokoh-tokioh terdahulu serta memupuk kesedaran di kalangan masyarakat supaya menghargai rekod-rekod sejarah yang terdapat di Sabah.

Katanya, pameran khas ini disertai oleh agensi dan jabatan kerajaan serta kementerian-kementerian di negeri Sabah yang masing-masing mempamerkan produk-produk bersejarah.

Pameran khas ini juga turut disertai oleh para peniaga khususnya yang berkaitan produk tradisi seperti kraftangan dan sebagainya.

“Pameran khas ini juga dapat memberi peluang kepada peniaga daripada semua agensi dan jabatan untuk mempromosi kraftangan yang dihasilkah dari negeri Sabah,” katanya.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Jaujan Sambakong, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Benedict, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Hiew Vun Zin dan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Ariffin Asgali.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *