TAMPARULI: Kerajaan negeri diminta supaya mempercepatkan pembaikan jalan raya di Kampung Tiong Ratau dan Tiong Simpodon.
Penduduk kampung mendakwa keadaan jalan berkenaan bertambah teruk setiap kali hujan sehingga tidak dapat dilalui apabila sungai melimpah mengakibatkan banjir di kawasan itu.
Wakil penduduk Kampung Tiong Ratau dan Simpodon Felix Dualis berkata, saiz kalbut yang dipasang di Sungai Kitogung agak kecil dan tidak dapat menampung aliran air sungai apabila banjir.
“Kami merayu kepada wakil rakyat Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu Datuk Joniston Bangkuai agar dapat membantu menyelesaikan masalah ini untuk kebaikan semua penduduk kampung yang melalui jalan berkenaan.

“Jalan ini adalah satu-satunya jalan perhubungan Tiong Ratau -Tiong Simpodon dan apabila banjir, tiada jalan alternatif lain kecuali menunggu banjir surut dan biasanya penduduk kampung bergotong royong membersihkan jalan berkenaan untuk dilalui,” katanya kepada media hari ini.

Felix berkata, beberapa bulan lalu, jalan Tiong Ratau- Simpodon mengalami kerosakan akibat banjir, bagaimanapun atas inisiatif penduduk kampung Slyvester Soindi menghubungi kontraktor jalan yang dilantik dan tindakan pantas Ahli Parlimen Tuaran Datuk Wilfred Madius Tangau, ia dapat dibaiki dengan cepat.
“Kami mahu penyelesaian jangka panjang iaitu menggantikan kalbut di kawasan itu dengan ukuran yang lebih besar ataupun kalau boleh membina jambatan supaya tiada lagi masalah jalan raya terputus walaupun berlaku banjir.

“Setiap kali hujan lebat dan berlaku banjir, kalbut tersumbat sebab tidak dapat menampung aliran air yang banyak menyebabkan air melimpah dan mengakibatkan banjir di jalan raya,” katanya.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ