Kerajaan negeri serah 100 mesin hemodialisis untuk hospital, klinik KKM

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri melalui Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) negeri, hari ini menyerahkan 100 mesin hemodialisis bernilai RM4.5 juta kepada Kementerian Kesihatan (KKM).

Peralatan untuk rawatan pesakit buah pinggang di seluruh Sabah itu diserahkan Menterinya, Datuk James Ratib kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada satu majlis di Hospital Queen Elizabeth II (HQE2), di sini, pada Khamis.

Menerusi kenyataannya, James berkata 100 mesin hemodialisis baharu itu adalah sebagai tambahan untuk diagihkan ke hospital dan klinik di Sabah, menerusi Skim Bantuan Kesihatan Sabah Maju Jaya (SMJ), ‘Sabah Sejahtera’.

Secara keseluruhan, katanya kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM8.5 juta untuk Skim Bantuan Kesihatan SMJ ‘Sabah Sejahtera’, iaitu masing-masing RM4 juta untuk kos rawatan dan RM4.5 juta untuk pembelian mesin hemodialisis.

“Sumbangan mesin hemodialisis ini adalah inisiatif KPMKR bagi meringankan beban pesakit buah pinggang peringkat akhir (ESRF) di Sabah, khususnya dari golongan kurang berkemampuan.

“Rekod menunjukkan pesakit ESRF di fasiliti kerajaan Sabah terus meningkat daripada 1,831 pesakit pada 2020 kepada 2,133 pesakit pada 2024.

“Dengan peningkatan jumlah pesakit ESRF setiap tahun, kerajaan negeri terus komited menambah baik perkhidmatan rawatan bagi memastikan pesakit mendapat akses rawatan yang mencukupi dan berkualiti,” katanya.

Mesin hemodialisis yang diagihkan kepada hospital dan klinik KKM di seluruh negeri.

Beliau berkata, setakat ini, Sabah mempunyai 474 mesin hemodialisis sedia ada, namun hanya 435 berfungsi dengan baik, manakala 39 mengalami kerosakan.

Katanya, 100 mesin hemodialisis baharu itu diagihkan ke semua 23 hospital dan dua klinik utama di seluruh negeri dengan masing-masing menerima antara dua hingga lapan unit mesin.

Dua hospital menerima lapan unit mesin hemodialisis iaitu Hospital Queen Elizabeth dan Hospital Tawau, manakala HQE2, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) Likas, Hospital Duchess of Kent Sandakan dan Hospital Keningau menerima enam unit.

Selebihnya menerima empat unit mesin hemodialisis iaitu Hospital Papar, Ranau, Kota Belud, Semporna, Lahad Datu, Kinabatangan, Beaufort, Kuala Penyu, Sipitang dan Kudat.

Hospital Kunak, Beluran, Tenom, Tambunan, Pitas dan Kota Marudu, selain Klinik Kesihatan Tungku dan Klinik Kesihatan Nabawan, masing-masing menerima dua unit mesin hemodialisis.

Sementara itu, James berkata menerusi skim berkenaan, pesakit buah pinggang yang menerima rawatan atau menggunakan perkhidmatan mesin hemodialisis turut dikecualikan membayar RM13 yang seperti dikenakan sebelum ini.

Katanya, kerajaan negeri juga memberi subsidi RM100 kepada pesakit yang melakukan rawatan kendiri di rumah (CAPD). – Info X