TAWAU: Empat individu termasuk seorang wanita ditahan, semalam selepas bertindak melanggar motosikal anggota polis yang membuat pemeriksaan ke atas kenderaan dinaiki mereka di kawasan Persisiran Traulsen, di sini.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, ketika kejadian anggota polis daripada Balai Polis Tawau terbabit sedang menjalankan rondaan bit.
“Ketika melalui tempat kejadian, anggota bertugas ternampak sebuah kereta jenis Proton Saga warna putih dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.
“Menyedari kehadiran polis, pemandu kereta bertindak agresif cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis dan melanggar sebuah motosikal milik anggota polis yang bertugas.
“Suspek juga turut melanggar tembok sebuah bangunan kerajaan dan pembahagi jalan sebelum ditahan oleh polis,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat empat individu termasuk pemandu terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia 15 hingga 23 tahun berada di dalam kereta berkenaan.
“Tiga daripada suspek juga warga asing yang dipercayai menetap di negara ini tanpa dokumen perjalanan diri yang sah. Semua suspek dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam melaksanakan tugas dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – Info X

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ