Kerajaan perkenal semula aliran kerja penjawat awam bagi atasi karenah birokrasi

[ad_1]

SERDANG, 25 Mac (Bernama) — Kerajaan akan memperkenalkan semula sistem lama yang merangkumi prosedur manual, fail meja dan carta aliran tugas kepada penjawat awam bagi menangani isu karenah birokrasi, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Beliau berkata ia membolehkan seseorang penjawat awam tahu apa yang perlu dibuat apabila terdapat permintaan untuk melaksanakan sesuatu prosedur kerja tanpa melalui proses birokrasi yang rumit.

Katanya beliau telah berbincang dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Datuk Seri Ismail Bakar untuk memperkenalkan balik sistem lama itu.

“Kalau tidak tahu buat tugas, perlu tanya kepada orang lain, dan ini akan melambatkan proses. Kalau ada carta aliran tugas, penjawat awam boleh laksanakan tugas dan serahkan tugas selanjutnya kepada orang lain.

“Apabila sampai ke pegawai tertinggi, perkara itu akan disemak sama ada dilakukan dengan betul sebelum meluluskan permintaan, dan ini boleh meningkatkan perkhidmatan birokasi,” katanya dalam sesi soal jawab selepas melancarkan Perhimpunan Perdana Bersama Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) di Universiti Putra Malaysia di sini hari ini.

Mengakui kewujudan karenah birokrasi dalam perkhidmatan awam, Dr Mahathir berkata tanpa birokrasi, kerja juga tidak dapat dilakukan namun yang menjadi masalah apabila terlalu banyak proses yang terlibat untuk membuat sesuatu perkara.

“Satu orang mahu mendirikan pelancongan di Langkawi. Dia terpaksa meminta permit daripada dekat 20 jabatan. Jadi lambatlah, kadangkala pegawai pun tidak begitu cekap atau tidak tahu apa tanggungjawabnya,” jelasnya.

Pada masa yang sama, Dr Mahathir berkata orang ramai juga perlu tahu prosedur untuk mendapatkan kelulusan sesuatu permohonan.

“Ada kala, mereka (orang awam) hanya mendapatkan kelulusan daripada satu jabatan tetapi mereka tidak tahu mereka perlu mendapat kebenaran tiga atau empat jabatan yang lain,” katanya.

Perdana Menteri berkata pihak KSN sedang berusaha untuk membekalkan buku prosedur kepada orang awam, berhubung apa yang perlu dilakukan apabila mereka ingin membuat sesuatu.

— BERNAMA



[ad_2]