Kerajaan peruntuk RM15.5 juta selenggara dan naik taraf jalan pertanian di Sabah pada tahun 2024

KUALA LUMPUR: Kemudahan infrastruktur dan saliran pertanian merangkumi jalan-jalan pertanian merupakan aspek yg penting dalam perancangan pembangunan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Timbalan Menteri KPKM, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, pada tahun 2024, sejumlah RM20 juta telah diperuntukkan bagi tujuan menaik taraf jalan pertanian di kawasan jelapang dan luar jelapang padi.

“KPKM juga telah menerima peruntukan tambahan secara one-off dari kementerian kewangan berjumlah RM50 juta bagi tujuan menaik taraf jalan pertanian di kawasan pertanian.

“Daripada jumlah tersebut sebanyak RM15.5 juta telah diperuntukkan kepada Sabah bagi menyelenggara dan menaiktaraf jalan pertanian yang meliputi dalam kawasan jelapang dan luar jelapang padi,” katanya.

Arthur berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Panglima Madius Tangau [ UPKO – Tuaran ] dalam sesi Soalan Lisan pada Persidangan Parlimen Dewan Rakyat di sini.

Dalam soalannya, Madius meminta menteri KPKM menyatakan peranan kementerian itu dalam menyelenggara dan menaik taraf jalan-jalan pertanian di seluruh negara dan jumlah peruntukan yang diberikan untuk tujuan itu.

Beliau juga meminta KPKM menyatakan jumlah jalan pertanian di Parlimen Tuaran beserta jumlah peruntukan yang digunakan untuk tujuan yang sama.

Menurut Arthur, kawasan parlimen Tuaran tidak termasuk dalam kawasan jelapang padi di Sabah.

Katanya, kawasan dalam jelapang padi di Sabah ialah di Kota Belud dengan keluasan sebanyak 8,500 hektar.

“Berdasarkan maklumat daripada Jabatan Pengairan dan Saliran Sabah, parlimen Tuaran mempunyai jumlah Jalan Pertanian sepanjang 10.02 kilometer termasuk kawasan luar skim pengairan.

“Pada tahun 2024, kerja menaik taraf jalan pertanian sepanjang 3.12 kilometer telah dilaksanakan di kampung Minangkob Kiulu dan Kampung Ranau-ranau Rugading dengan kos sebanyak RM334,000,” jelas Ahli Parlimen Pesiangan itu lagi.