Persidangan DUN : 2,093 miskin tegar berjaya keluar dari garis kemiskinan

KOTA KINABALU: Seramai 2,093 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar di Sabah dikenal pasti berjaya keluar daripada garis kemiskinan dalam tempoh sembilan bulan lalu.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata ia berdasarkan peningkatan pendapatan isi rumah KIR terbabit hingga melebihi RM2,742 sebulan.

Katanya, perubahan status itu antara penyumbang kepada penurunan 76.1 peratus jumlah KIR miskin tegar di Sabah kepada hanya 5,379 KIR setakat 30 Jun lalu, berbanding 22,510 KIR dengan 94,315 ahli isi rumah pada 13 September tahun lalu.

Selain itu, katanya seramai 14,146 KIR miskin tegar berubah status kepada berstatus miskin berikutan peningkatan pendapatan ke paras miskin.

“Seramai 14,146 KIR miskin tegar berubah status kepada miskin dengan jumlah pendapatan di antara RM1,218 hingga RM2,742 sebulan.

“Seramai 2,093 KIR pula berubah kepada hingga melebihi paras miskin dengan jumlah pendapatan lebih RM2,742 sebulan,” katanya pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (WARISAN – Senallang) mengenai langkah kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan tegar di Sabah yang disasar diselesaikan bulan ini.

Hajiji berkata, selain perubahan status KIR miskin tegar kepada miskin dan tidak miskin, pasukan petugas khas yang dilantik untuk mengemaskini data miskin tegar di Sabah turut mendapati seramai 477 KIR miskin tegar sudah meninggal dunia.

“KIR terbabit disahkan sudah meninggal dunia tetapi nama mereka masih dalam senarai miskin tegar di negeri ini, manakala seramai 394 KIR miskin tegar yang ada dalam senarai tidak dapat dikesan,” katanya.

Pada masa yang sama, katanya seramai 21 KIR lagi dikenal pasti berpindah ke negeri lain tetapi nama mereka masih dalam senarai e-kasih di negeri ini.

Katanya, hasil pemutihan senarai miskin tegar di negeri ini, jumlah terkini yang dikenal pasti masih ada di Sabah setakat 30 Jun lalu ialah 5,379, berbanding 22,510 pada 13 September tahun lalu.

Hajiji berkata, semakan dengan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah turut mendapati seramai 3,541 KIR miskin tegar di Sabah memiliki tanah bergeran.

Pemilikan tanah, katanya adalah antara kriteria yang diambil kira dalam menentukan kelayakan KIR untuk disenaraikan dalam golongan miskin tegar. – Info X