KERAJAAN SABAH SEKAT PERJALANAN SEMPADAN MALAYSIA-INDONESIA

KOTA KINABALU: Semua perjalanan di sempadan Malaysia dan Indonesia akan disekat dibuat sementara waktu bagi menangani penularan wabak Covid-19.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong berkata sekatan yang mula berkuat kuasa hari ini membabitkan perjalanan dari Pulau Sebatik-Tawau-Pulau Sebatik; Serudong-Simanggaris-Serudong; dan Bantul Labang-Pagalungan-Bantul Labang.

“Bagaimanapun, perjalanan menggunakan jeti-jeti yang dibenarkan untuk beroperasi oleh Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah serta Majlis Perbandaran Tawau bagi maksud penghantaran barangan keperluan harian adalah dikecualikan daripada sekatan perjalanan dengan jumlah bot serta kru yang minimum,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Safar berkata, kerajaan juga mengeluarkan arahan agar mana-mana pelajar atau orang awam yang balik dari luar negeri ke Sabah di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dikenakan kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin disediakan.

“Proses kuarantin ini tidak kira sama ada mereka yang balik dari luar negeri itu sudah melalui saringan kesihatan Covid-19 ataupun tidak.

“Kerajaan negeri juga mewartakan tiga lagi lokasi baharu sebagai Pusat Kuarantin Sementara Covid-19 iaitu masing-masing di Masjid Jamek, Kota Belud; Plasma MPOB, Lahad Datu; dan Felda Resident Sahabat, Lahad Datu.

“Pewartaan itu bagi menampung keperluan selain mengelak kesesakan di pusat kuarantin sedia ada,” katanya..

Sementara itu, kerajaan negeri turut mengehadkan penerbangan domestik ke destinasi seperti Kota Kinabalu-Tawau-Kota Kinabalu; Kota Kinabalu-Sandakan-Kota Kinabalu; Kota Kinabalu-Lahad Datu-Kota Kinabalu; dan Kota Kinabalu-Sandakan-Tawau-Kota Kinabalu.

“Semua penumpang juga diwajibkan untuk menjalani saringan kesihatan COVID-19 yang dijalankan oleh kakitangan Kementerian Kesihatan di lapangan terbang berkenaan,” tambahnya.

Pada masa sama, Safar berkata kerajaan turut mengarahkan mana-mana premis yang menawarkan perkhidmatan layan diri kepada orang awam supaya membersihkan kemudahan seperti mesin pengeluaran wang automatik (ATM), butang lif dan nozzle pam minyak secara berterusan berkuat kuasa hari ini./BERITA SABAH