Kerajaan tak dapat sahkan aset Petronas disita waris Sulu, kata Azalina

PETALING JAYA: Kerajaan tidak dapat mengesahkan laporan mengenai aset Malaysia dan yang dimiliki Petronas disita di Luxembourg oleh kumpulan yang mendakwa sebagai waris Sultan Sulu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, berkata kerajaan tidak dapat mengesahkan kebenaran laporan media itu kerana tidak menerima sebarang notis rasmi berkaitan perintah sitaan terbaharu tersebut.

Azalina berkata, jika laporan itu benar, ia bukan kali pertama kumpulan yang mendakwa waris Sultan Sulu itu cuba merampas aset Malaysia di Luxembourg.

Katanya, usaha sebelum ini dibuat atas dasar anugerah terakhir yang dikeluarkan oleh seorang penimbang tara Sepanyol tetapi pelantikan beliau dibatalkan oleh mahkamah sama yang melantiknya.

“Usaha terbaru untuk menyita aset ini adalah menggunakan perintah pertama yang gagal dilaksanakan sebelum ini, yang baru-baru ini ditarik balik mahkamah di Luxembourg,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Reuters melaporkan mahkamah di Luxembourg mengeluarkan perintah sita baharu terhadap dua anak syarikat Petronas susulan tuntutan daripada waris Sultan Sulu untuk menguatkuasakan anugerah USD15 bilion (RM66 bilion) yang mereka peroleh terhadap aset kerajaan Malaysia.

Anugerah itu diberikan kepada mereka oleh mahkamah timbang tara Perancis tahun lalu.

Azalina berkata, Malaysia akan bersungguh-sungguh mempertahankan hak negara ini di mahkamah bagi memastikan perintah sitaan kedua ini, jika ia wujud, akan juga ditarik balik oleh mahkamah di Luxembourg, seperti mana perintah sebelum ini.

“Kami ingin mengingatkan orang ramai sekali lagi, kumpulan yang mendakwa waris Sultan Sulu dan peguam mereka cuba memesongkan kebenaran kepada pihak media, seperti yang dilakukan di mahkamah,” katanya.

Katanya, kes itu adalah satu skandal timbang tara yang menjejaskan dua institusi asas undang-undang: menghormati undang-undang dan mematuhi perintah mahkamah.

“Dan Malaysia tidak akan berputus asa dalam mempertahankan haknya,” katanya.

Pertikaian itu berasal daripada perjanjian pajakan pada 1878 antara Sultan Sulu ketika itu, Jamal Al Alam dengan wakil Syarikat British Borneo Utara Baron de Overbeck dan Alfred Dent.

Mengikut perjanjian itu, Jamal menyerahkan kedaulatan sebahagian besar Sabah kepada Overbeck dan Dent, yang bersetuju mereka dan waris mereka akan membayar waris sultan itu Peso Mexico 5,000 setiap tahun.

Pada 1936, Sultan Sulu terakhir yang diiktiraf secara rasmi, Jamalul Kiram II meninggal dunia tanpa waris. Bayaran itu ditangguhkan sehingga Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Borneo Utara Charles F Macaskie menamakan sembilan waris yang dilantik mahkamah pada 1939.

Malaysia mengambil alih pembayaran itu susulan perjanjian kemerdekaan Sabah dan pembentukan Malaysia pada 1963.

Bayaran itu yang bersamaan RM5,300 setahun dihentikan pada 2013 selepas pencerobohan sekumpulan lelaki bersenjata di Lahad Datu, Sabah.