KOTA KINABALU, 5 Mac — Pakatan Harapan (PH) memaklumkan bahawa keputusan Kerajaan mengekalkan kadar tol dan menamatkan konsesi di empat buah lebuhraya sekitar Lembah Klang adalah hasil kesinambungan daripada usaha Kerajaan PH pada Oktober 2019.
Menurut Majlis Presiden PH, Majlis Jemaah Menteri pada ketika itu telah memutuskan secara dasar untuk memulakan proses mengambil alih lebuhraya-lebuhraya tersebut.
“Maka apa yang diumumkan (oleh Kerajaan) ini adalah dasar PH yang diteruskan hingga ke penghujungnya.
“Sebagai contoh, Kerajaan PH telah memulakan usaha menamatkan konsesi lebuhraya dengan mengurangkan kadar tol Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) sebanyak 18% pada 2020.
“Ini membuktikan bahawa jika PH terus mentadbir lebih dari 22 bulan dan Langkah Sheraton tidak berlaku, pelbagai dasar yang membantu meringankan beban rakyat dapat dilaksanakan,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.
Tambahnya lagi, PH sebelum ini telah merancang untuk memberi diskaun 30% dan tol percuma selama 16 jam sehari di tempat lebuhraya tersebut.
“Oleh itu, kami menggesa Kerajaan untuk memberi diskaun tambahan kepada pengguna empat
lebuhraya ini, serta memberi penjelasan penuh ke Parlimen berhubung hakmilik Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd (ALR), terutama dari sudut kewajipan kewangan dan ketelusan perbelanjaannya,” jelasnya lagi.
Untuk rekod, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam telah mengumumkan bahawa empat lebuhraya sekitar Lembah Klang tidak akan dikenakan kenaikan kadar tol dan akan diambil alih oleh ALR pada nilai RM5.48 bilion.
Lebuhraya tersebut melibatkan Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan Lebuhraya Damansara-Puching (LDP).
More Stories
Kehadiran Madius Meriahkan lagi sambutan Hari Malaysia KRT Tambalugu
MA63: 9 tuntutan asas selesai sepenuhnya
PADU: Kebimbangan M40 bujang perlu diperhalusi – Pakar