Kerana hanya RM100 untuk Jalan-jalan Besar di Sabah: Tuaran hantar dua usul mengenai perbelanjaan di bawah Kementerian Kerja Raya

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau menghantar dua lagi Usul kepada Setiausaha Dewan Rakyat Parlimen Malaysia.

Menurut beliau, Usul pertama adalah untuk memotong RM1,000,000,000 daripada Peruntukan untuk Semenanjung dibawah aktiviti apa yang di sebut sebagai “Lain-lain Pembinaan” yang telah diperuntukkan sebanyak RM1,029,145,700.

Saya mencadangkan supaya RM1 Billion, yang dipotong itu diperuntukkan semula di Kementerian yang sama tetapi RM500 Juta di berikan kepada Sabah dan RM500 Juta lagi diberi kepada Sarawak, manakala selebihnya iaitu RM29,145,700 diberikan kepada Semenanjung.

Cadangan ini dibuat kerana saya dapati peruntukan yang diberikan untuk Jalan-jalan Besar di Sabah untuk tahun hadapan, tahun 2021, hanyalah RM100 (Seratus Ringgit Sahaja).

Saya juga mencadangkan supaya Baki RM500 Juta lagi diberikan kepada Sarawak untuk “Naiktaraf Jalan-Jalan” kerana pada tahun hadapan hanya RM1.5 Juta sahaja yang telah diperuntukan untuk tujuan ini.

Madius menambah bahawa, umum sudah sedar bahawa jalan-jalan persekutuan di Sabah dan Sarawak sangat mendesak untuk di naik taraf khususnya untuk memacu pembangunan kedua-dua wilayah tersebut.

Usul pertama saya buat di bawah peraturan 66(9) Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Saya berharap Usul saya ini dibenarkan oleh Speaker untuk dibahas dan dipertimbangkan untuk kelulusan Dewan sebelum perbahasan Kementerian Kerja Raya di Peringkat Jawatankuasa.

Usul ini juga saya buat atas rasa tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen daripada Sabah dan juga keprihatinan terhadap tahap infrastruktur di kedua-dua wilayah Sabah dan Sarawak yang masih keterbelakang berbanding di Semenanjung.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *