REMPUH BELAKANG TRELER, SEORANG PEMANDU MAUT DI TEMPAT KEJADIAN

KOTA KINABALU: Seorang pemandu lelaki maut selepas kenderaannya merempuh belakang sebuah lori treler dalam satu kejadian di Jalan Lintas malam tadi.

Mangsa dikenali sebagai Bryan Vun Chen Tsung berusia 22 meninggal dunia selepas mengalami kecederaan serius pada tragedi yang berlaku kira-kira pukul 12.15 tengah malam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan George Rakhman berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kedua-dua pemandu bergerak dari arah sama menuju ke kawasan Kolombong.

“Kemalangan dipercayai berlaku akibat kecuaian mangsa sendiri yang memandu secara melulu sehingga merempuh belakang lori treler yang membawa muatan batu-bata berkenaan.

“Semasa kejadian, pemandu lori berusia 35 tahun yang sedang menaiki ‘flyover’ berkenaan, tiba-tiba terdengar bunyi seperti tayar meletup.

“Pemandu lori kemudiannya menghentikan kenderaan dan turun untuk memeriksa keadaan tayar sebelum terkejut melihat sebuah kereta Toyota Rav4 terperosok di belakang lori treler berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ujar beliau, kedua-dua pemandu tidak disyaki mabuk namun sampel darah sudah diambil dan akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis alkohol dan dadah.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,”katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *