KUALA LUMPUR — 14 Sept (Bernama) Kertas siasatan melibatkan Tan Sri Musa Aman berhubung dakwaan ugutan jenayah terhadap Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin akan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya minggu hadapan, kata Pemangku Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah.
“Kita akan lengkapkan kertas siasatan sebelum rujuk kepada pihak Pendakwa Raya pada Selasa hadapan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Bekas Ketua Menteri Sabah itu sebelum ini dikehendaki polis berhubung dakwaan ugutan jenayah terhadap Juhar pada majlis angkat sumpah 10 Mei lepas.
Musa, yang meninggalkan negara ini selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), hanya mengangkat sumpah sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga pada 5 Sept lepas.
Sehari selepas itu, Musa, yang sedang memberi keterangan dipercayai berhubung dakwaan rasuah pada PRU14 di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, terpaksa dikejarkan ke Institut Jantung Negara (IJN) ekoran masalah kesihatan.
Musa pulang ke tanah air pada 21 Ogos dan menjalani rawatan lanjutan di sebuah hospital swasta di Subang Jaya. Sebelum itu, beliau mengesahkan menjalani rawatan perubatan di London sejak meninggalkan Malaysia pada 16 Mei.
— BERNAMA

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK