Mulai hari Tiga ni, ada beberapa kawasan termasuk di Sabah kena kasi PKPD

Perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di beberapa kawasan di Sarawak, Pahang, Perak dan Sabah.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob, berkata PKPD selama 14 hari itu bermula 2 hingga 15 Jun ini susulan peningkatan jangkitan Covid -19.

Di Sarawak PKPD dilaksanakan di 11 Rumah Panjang dan SK Stalon, Stalon, daerah Tanjung Manis, selepas berlaku peningkatan mendadak jangkitan di mana 21 positif selepas 97 saringan dijalankan.

PKPD turut dilaksanakan di Kampung Pagi, Ulu Tembeling, Jerantut, Pahang selepas 10 dikesan positif.

Sementara di Perak, PKPD membabitkan Felda Trolak Utara, Mukim Sungkai, daerah Batang Padang di mana 16 individu dikesan positif.

Di Sabah PKPD melibatkan Kampung Kuala Menggatal, Kota Kinabalu dan Jalan Klias 2 dan Jalan Klias 3, Kampung Klias Baru, Beaufort.

Sementara itu, Ismail turut memaklumkan pelaksanaan PKPD di 28 Mukim Kota Setar, Kedah, yang sepatutnya tamat esok akan dilanjutkan hingga 15 Jun.

“Sepanjang tempoh itu, Kementerian Kesihatan (KKM) melakukan 5,631 ujian saringan dan 1,367 daripadanya disahkan positif.

“Sehingga kini, KKM mengesahkan masih terdapat penularan berterusan dalam kalangan penduduk dalam kawasan PKPD serta masih terdapat jangkitan baharu yang direkodkan,” katanya dalam kenyataan.

Manakala, PKPD di Kampung Pauh Lima, Mukim Banggu, Kota Bharu, dan Kampung Pauh Lima, Mukim Gunong, Bachok, Kelantan, yang sepatutnya berakhir 1 Jun, ditamatkan sehari lebih awal bermula hari ini susulan tiada lagi individu menunggu keputusan saringan.

Dalam pada itu, Ismail memaklumkan polis menahan 754 individu atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, seramai 746 dikompaun manakala lapan lagi direman, semalam.

“Antara kesalahan direkodkan ialah tidak memakai pelitup muka (168), tiada penjarakan fizikal (145), gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (109), bawa penumpang berlebihan (74) dan lain-lain kesalahan (258),” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *