Keyakinan warga Tuaran terhadap UPKO masih teguh

KOTA KINABALU, 21 Mac — Masyarakat di Tuaran menunjukkan keyakinan tinggi terhadap Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

Menurut seorang penduduk di Kampung Wangkod Tuaran, beliau berhasrat menukar tempat mengundinya daripada daerah Kota Belud ke Tenghilan untuk memberi sokongan terhadap Madius yang telah banyak membantu penduduk di kawasan tersebut.

“Dulu saya didaftarkan di Kota Belud sebagai pengundi oleh anggota UMNO kerana ketika itu mereka baru sahaja memperkenalkan parti mereka di Sabah dan mereka berusaha mencari keahlian pada masa itu.

“Waktu itupun saya masih muda jadi saya hanya mengikuti apa yang diarahkan.

“Jadi sekarang saya sebaiknya mahu tukar tempat mengundi di sini (Tenghilan) kerana saya ingin mengundi Madius,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita semalam.

Dalam pada itu, seorang lagi penduduk daripada Kampung Buansa, Mengkabong memberi keyakinan bahawa sokongannya adalah sepenuhnya kepada Presiden Pertubuhan Kinabalu Bersatu (UPKO) itu.

“Walau apapun, kami sentiasa akan menyokong Madius,” katanya ketika dihubungi pemberita baru-baru ini.

Kegigihan Madius dalam membantu penduduk kampung di sekitar Tuaran itu menunjukkan sifat pemimpin yang terpuji dan patut dicontohi, oleh itu beliau disukai ramai.

Aura pilihan raya umum yang ke-15 semakin hangat dirasakan, ramai masyarakat yang mengharapkan pemimpin yang menjadi pilihan mampu menggalas tanggungjawab dengan bersungguh-sungguh dan bukan hanya seperti melepaskan batuk di tangga.