Kini masa terbaik bangsa Momogun bersatu – Madius

KENINGAU, 19 Sept (Bernama) –   Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, kini adalah masa paling sesuai bagi bangsa Momogun (orang asal) di negeri ini bersatu dalam kerajaan sedia ada.

Katanya, bangsa Momogun tidak perlu membuang masa panjang untuk memikirkan hala tuju politik mereka pada ketika kerajaan yang ada sekarang sudah kukuh.

“Ini lah kerajaan kita .. kita perlu bersatu di sini. Kita perlu bersatu bersama kerajaan,”  katanya kepada Bernama selepas majlis perasmian  Mesyuarat Tritahunan Bahagian parti  UPKO Keningau di sini, hari ini.

Pada majis berkenaan, seramai 2,157 onggota  baharu menyertai parti itu iaitu 1,685 dari Keningau dan 472 orang dari  Nabawan.

Madius yang juga pemangku presiden UPKO berkata, rakyat perlu melupakan kesibukan politik sebaliknya menumpukan perhatian untuk meningkatkan keterusan hidup dalam suasana iklim ekonomi negara yang tidak menentu.

Katanya, kerajaan sentiasa berpihak kepada rakyat dan akan berusaha keras untuk meningkatkan taraf hidup mereka tanpa pilih kasih.

Sebelum itu, ketika menghadiri majlis serupa di Nabawan, Madius meminta Anggota Dewan Negeri kawasan  Nabawan Datuk Bobbey Suan supaya kembali  ke pangkuan UPKO.

“Datuk Bobbey masih pemimpin UPKO, namun beliau Bobbey perlu menjelaskan pendirian sebenar. Kita syorkan supaya beliau dengan hati terbuka kembali dan membantu menangani keperluan rakyat di bahagian ini”, katanya.

Sementara itu, pada mesyuarat tritahunan UPKO di Bahagian Keningau dan Nabawan, kedua-dua bahagian sebulat suara  menyokong Madius  sebagai calon Presiden UPKO dan Datuk Donald Peter Mojuntin sebagai Timbalan Presiden pada pemilihan parti yang dijangka pada Oktober ini.