Kita tangguh rundingan kerusi dengan Umno, teruskan dengan PPBM, kata Hadi

Rundingan kerusi PAS dengan Umno bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) ditangguh bagi memberi ruang kepada Umno menyelesaikan isu dalaman, kata Abdul Hadi Awang.

Presiden PAS itu berkata, rundingan pengagihan kerusi dengan PPBM, bagaimanapun, diteruskan.

“Itu (isu pembahagian kerusi) tertakluk kepada Umno menyelesaikan masalah mereka dulu, kerana (dulu) sudah ada jawatankuasa (rundingan kerusi) dibentuk tapi Umno ubah di tengah jalan.

“Sehingga kini, oleh kerana Umno ada masalah, kita bincang dengan PPBM dulu,” kata beliau ketika ditanya berkenaan perkembangan berhubung agihan kerusi dengan parti rakan, selepas menyampaikan kuliah duha mingguan secara dalam talian di Masjid Rusila, Marang.

Umno dilihat sedang dalam keadaan berpecah-belah dengan beberapa pemimpin mendesak presidennya, Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan, khususnya selepas beliau didakwa cuba menjalin kerjasama dengan PKR.

Zahid dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim, menafikan mereka mengadakan sebarang perbincangan sebegitu, namun desakan dalam kalangan pemimpin Umno mahukan Zahid berundur terus lantang.

Mengulas keputusan Umno Terengganu tidak mahu bekerjasama dengan PAS dan PPBM dalam pilihan raya, Hadi berkata ia hanya pandangan di peringkat negeri, justeru belum muktamad.

Kata beliau, apa yang lebih penting, perpaduan ummah dalam Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) bersama masyarakat majmuk lain perlu dipertahan.

“Kita akan melihat perkembangan semasa, kerana dalam Umno sendiri pun tidak sekata, kita masih lagi menyeru kepada perpaduan ummah Islam dan masyarakat majmuk,” tambah beliau.

Hadi berkata, permuafakatan yang diinginkan PAS berbentuk menyeluruh dan tidak terhad kepada Umno sahaja.

Beliau menegaskan tidak semua dalam Umno yang menyokong menamatkan kerjasama dengan PPBM, dan PAS tetap akan berusaha mendirikan penyatuan ummah yang menyeluruh.

“Perpaduan umat Islam ini ialah dalam Muafakat Nasional (MN) bukan sahaja PAS dengan Umno, termasuk PPBM. Itu dasar, prinsip bersama kita telah bersetuju.

“Tapi masalah pimpinan Umno tak ikut itu hak merekalah dan difahamkan bukan semua orang Umno begitu (menolak kerjasama dengan PPBM).

“Kita nak menyatukan orang Melayu. Bukan PAS dengan Umno sahaja Melayu. Melayu ini ada NGO, individu,” kata Hadi.

Beberapa pemimpin Umno sebelum ini mendesak PAS untuk memilih sama ada bekerjasama dengan tunjang Barisan Nasional itu atau PPBM pimpinan Muhyiddin Yassin bagi menghadapi PRU15.

PAS menegaskan ia tetap akan bekerjasama dengan PPBM menerusi Perikatan Nasional dan menolak Umno dalam membentuk sebarang penjajaran baharu dengan Pakatan Harapan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *