UPKO terima kemasukan 7,219 ahli baharu di Sepanggar

SEPANGGAR: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mencipta sejarah apabila menerima keahlian seramai 7,219 ahli baru dari kalangan masyarakat beragama Islam di Sepanggar.

Penyerahan borang disampaikan oleh tokoh usahawan terkemuka Sabah, Datuk Seri Marajoh Unding kepada Presiden UPKO, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau dalam Majlis Ramah Mesra dan Penyerahan Borang Keahlian Ketua Cawangan UPKO Bahagian Sepanggar malam tadi.

Penyerahan yang berlangsung di salah sebuah hotel di Sepanggar turut dihadiri 114 ketua cawangan baharu UPKO di sini.

Madius ketika ditemui menyifatkan bahawa penyertaan itu merupakan sejarah baharu untuk UPKO dan membuktikan bahawa parti itu sebuah parti multinasional seiring dengan penjenamaan semula yang dilaksanakan pada tahun lalu.

“Walaupun sebelum ini, kita mempunyai ahli beragama Islam tetapi bilangannya tidak ramai dan dengan kemasukan Datuk Seri Marajoh Unding sendiri berserta semua ahli-ahli pada hari ini, maka penjenamaan semula UPKO kini lengkap dari segi barisan kepimpinan serta keahliannya.

“Secara keseluruhannya, kita ada seramai 150,000 ahli di seluruh Malaysia dan dengan keahlian ini akan melonjak kepada 180,000 ahli.

“Dengan penyertaan lebih 7,000 ahli baharu ini juga sekali gus meningkatkan jumlah ahli bahagian UPKO Sepanggar kepada 15,000 ahli,” jelas Madius.

Dalam pada itu, Marajoh ketika diminta mengulas tentang keputusannya memilih berjuang bersama UPKO memaklumkan bahawa beliau telah membuat penelitian yang menyeluruh sebelum tekad menyertai parti itu.

“Saya dapati kepimpinan parti ini tidak sama seperti parti-parti yang lain kerana mereka mempunyai kesamarataan dan memiliki kekuatan bersama.

“Bagi saya untuk memperjuangkan Sabah melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) atau memperjuangkan agama, bangsa dan rakyat Sabah keluar dari belenggu kemiskinan dan belenggu ekonomi memerlukan kepimpinan dan kesamarataan serta kesepakatan yang kuat. Perkara ini yang saya lihat ada pada kepimpinan UPKO dan ini menyebabkan saya tertarik,” ujarnya.

Menurut Marajoh, penjenamaan yang dilakukan UPKO daripada sebuah parti berasaskan perkauman kepada sebuah parti multinasional juga adalah satu langkah yang tepat.

“Keputusan Ahli Majlis Tertinggi Presiden dan lain dalam penjenamaan UPKO, adalah keputusan yang bijak.

“Dengan penjenamaan UPKO kepada sebuah parti yang inklusif tanpa mengira agama, suku kaum dan lebih progresif, saya yakin parti ini boleh melonjak lebih baik.

“Ini juga telah membolehkan pengikut saya turut memilih berjuang bersama UPKO walaupun mereka juga turut mendapat tawaran dari parti lain,” katanya.

Hadir sama, Setiausaha Agung UPKO Malaysia Nelson W Angang dan Ketua Bahagian UPKO Sepanggar Datuk Wong Thien Fook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *