KKM arah henti jual aiskrim campur ubat batuk

PUTRAJAYA: 

Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan arahan kepada semua premis yang menjalankan aktiviti penjualan produk aiskrim yang dicampur ubat batuk tradisional Pei Pa Koa (Cap Ibu dan Anak) agar menghentikan serta-merta penjualan produk itu bagi keselamatan pengguna.

KKM dalam satu kenyataan memaklumkan arahan itu susulan semakan KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) terhadap aktiviti penjualan produk berkenaan di premis ditularkan yang mendapati aiskrim berkenaan disediakan bersama picagari berisi ubat batuk Pei Pa Koa.

Kementerian itu menyebut Seksyen 13B (2) Akta Makanan 1983 tidak membenarkan penyediaan atau penjualan apa-apa makanan yang diadukkan dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Pihak industri makanan diingatkan supaya bertanggungjawab untuk memastikan semua produk makanan yang dijual mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya walaupun bagi tujuan untuk pemasaran dan melariskan jualan, menurut kenyataan itu.

Arahan sama turut diberikan kepada semua media pengiklanan termasuk platform e-dagang dan media sosial agar menghentikan penyiaran iklan makanan berkenaan.

Kementerian itu turut menasihatkan orang ramai supaya lebih peka dengan isu keselamatan makanan dan sentiasa berhati-hati semasa membeli produk makanan yang mungkin diaduk dengan bahan tidak sesuai atau tidak selamat untuk dimakan.

Ubat batuk Pei Pa Koa adalah produk berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, KKM di bawah kategori tradisional yang digunakan untuk melegakan sakit tekak serta batuk dengan kontraindikasi bagi wanita hamil seperti yang dinyatakan pada label.

Sementara itu, syarikat aiskrim Inside Scoop menghentikan serta merta penjualan aiskrim berperisa ubat batuk Pei Pa Koa susulan arahan KKM itu.

Syarikat itu dalam satu kenyataan di Facebook berkata, pelanggan yang memesan ais krim perisa itu secara dalam talian boleh meminta pemulangan semula wang.

Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul,katanya.