PAKEJ ‘PRIHATIN TAMBAHAN’ RM10 BILION RINGANKAN BEBAN PKS

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini, mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat atau “Prihatin Tambahan” berjumlah RM10 bilion.

Menurutnya, pakej tambahan itu diharapkan dapat membantu meringankan beban kewangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), seterusnya menjamin dua pertiga daripada jumlah pekerja di Malaysia terus mendapat pekerjaan.

Antara yang diumumkan termasuk peruntukan bagi program subsidi upah yang diumumkan pada 27 Mac lalu yang dinaikkan daripada RM5.9 bilion kepada RM13.8 bilion, iaitu tambahan sebanyak RM7.9 bilion.

Di bawah inisiatif itu, semua syarikat dengan pekerja tempatan yang bergaji RM4,000 dan ke bawah akan menerima bantuan subsidi upah seperti berikut:

• Bagi syarikat yang mempunyai pekerja lebih daripada 200 orang, subsidi upah sebanyak RM600 bagi setiap pekerja dikekalkan.

• Namun, bilangan maksimum pekerja yang layak untuk menerima subsidi akan ditingkatkan daripada 100 orang kepada 200 orang pekerja.

• Bagi syarikat yang mempunyai bilangan pekerja 76 hingga hingga 200 orang, syarikat akan menerima subsidi upah sebanyak RM800 bagi setiap pekerja.

• Bagi syarikat yang mempunyai bilangan pekerja sehingga 75 orang, syarikat akan menerima subsidi upah sebanyak RM1,200 bagi setiap pekerja.

Muhyiddin berkata, menerusi penambahbaikan berkenaan, syarikat-syarikat akan menerima lebih banyak manfaat dan bantuan.

“Bantuan ini adalah untuk selama tiga bulan dan dikhususkan kepada majikan yang telah berdaftar dengan SSM atau pihak berkuasa tempatan sebelum 1 Januari lalu dan mendaftar dengan Perkeso.

“Justeru, kira-kira 4.8 juta pekerja dijangka akan mendapat manfaat daripada inisiatif ini,” katanya.

Tambah beliau, majikan yang memilih untuk menerima bantuan ini, mereka disyaratkan untuk mengekalkan pekerja mereka sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan, iaitu dalam tempoh tiga bulan semasa menerima subsidi upah dan tiga bulan selepas itu./BERITA SABAH